Kes ‘Jam Tangan’ bekas setiausaha politik Salahuddin selesai, tiada pendakwaan

Kes ‘Jam Tangan’ bekas setiausaha politik Salahuddin selesai, tiada pendakwaan

Alhamdulillah, berakhir satu ujian.

Pagi ini ke SPRM Putrajaya untuk mengambil barang-barang peribadi yang ditahan semasa siasatan SPRM ke atas saya pada tahun lepas.

Alhamdulillah, SPRM memaklumkan tiada pertuduhan dikenakan dan siasatan telah ditutup.

Barang yang menjadi tohmahan ke atas saya, iaitu sebuah jam tangan Omega, juga dikembalikan kepada saya.

Jam ini saya terima dari rakan dan juga klien saya (semasa kerjaya saya sebagai peguam) dan telah saya kenali sejak sebelum saya menjawat jawatan dalam kerajaan. Saya juga pernah menjadi ahli lembaga pengarah dalam sebuah anak syarikat syarikat mereka.

Meraikan kegembiraan mereka dan keberadaan saya dalam anak syarikat mereka, mereka menghadiahkan jam tersebut. Sebagai seorang peguam dan biasa berkhidmat dalam persekitaran korporat, saya telah mengingatkan mereka tentang saya tertakluk kepada ‘no gift policy’ dan menolak hadiah tersebut. Tetapi mereka telah bertegas untuk memberi dan memaklumkan saya bahawa mereka tiada apa-apa kepentingan perniagaan dalam kementerian saya di mana saya bertugas.

Patuh dengan prinsip integriti dan urustadbir baik (good governance), saya terus memanggil unit yang berkaitan dalam kementerian untuk membuat pengisytiharan penerimaan hadiah mengikut prosedur. Saya diberikan borang dan mengisi borang yang berkaitan.

Malangnya, selepas 8 bulan pengisytiharan dibuat, borang pengisytiharan itu dijadikan asas untuk membuat tohmahan rasuah ke atas saya. Seharusnya, pihak berkenaan memberi keputusan mereka sekiranya hadiah itu perlu dipulangkan kepada pemberi atau dilupuskan, sepertimana amalan prosedur ‘no-gift policy’.

Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan. Saya juga mengelak dari membuat apa-apa kenyataan terbuka sebelum ini sebagai menghormati proses siasatan.

Pagi tadi saya telah dipanggil oleh Pegawai Penyiasat dan memaklumkan siasatan telah lengkap dan tiada tindakan lanjut dan semua barang-barang dan dokumen saya dan saksi-saksi yang lain dikembalikan semula.

Alhamdulillah. Moga Allah terus melindungi kita semua daripada ujian fitnah.

Ahmad Sabki Yusof
13 Ogos 2020

Sumber :