Kes Covid-19 makin menurun, jangan beri ‘rasa selamat’ yang palsu

Kerajaan tidak sepatutnya memberi gambaran palsu bahawa jumlah kes harian semakin menurun, sebaliknya perlu telus dengan kadar ujian saringan Covid-19, kata Dr Kelvin Yii hari ini.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata kegagalan menyesuaikan penurunan kes berdasarkan ujian saringan dan kadar positif sekadar mewujudkan “rasa selamat yang palsu” dalam rakyat.

“Hari ini mereka mengumumkan bahawa kes jangkitan telah jatuh kepada 5,566, tetapi ujian saringan yang kita jalankan sebenarnya telah menurun kepada 77,030 orang,” katanya.

Tambahnya, ini bermaksud kadar positif adalah pada 7.23% iaitu bersamaan minggu lalu.

Memetik data minggu lalu, Yii berkata jumlah ujian Covid-19 telah menurun dengan ketara dari 105,293 (4 Jun) dan 103,862 (5 Jun), menjadi 89,998 (6 Jun) dan 81,708 (7 Jun).

Katanya, kadar purata positif sekitar 7% melebihi penanda aras ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu di bawah 5%. Negara-negara yang berjaya membendung penularan virus seperti United Kingdom kini mencatat kadar positif hanya sekitar 0.3%, tambahnya.

Beliau menyuarakan kebimbangan dengan kenyataan bahawa kerajaan enggan menerima nasihat pakar dan memutuskan untuk mengurangkan ujian saringan ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Beliau memberi amaran tindakan mengurangkan saringan boleh mengakibatkan diagnosis pesakit Covid-19 yang lebih lambat, sekali gus meningkatkan kemungkinan rawatan hanya diberikan ketika mereka mengalami komplikasi kesihatan lebih serius malah juga kematian.

Katanya kegagalan mengutamakan ujian saringan dalam tempoh beberapa minggu ini akan menyebabkan negara terlalu bergantung kepada strategi sekatan penuh, yang kemudiannya akan menjejaskan kehidupan orang ramai.

“Jika tidak melakukan saringan mencukupi, mengasingkan pesakit dengan cepat serta memberi sokongan diperlukan kepada semua yang terlibat, kes-kes ini sudah pasti akan meningkat seterusnya sekali lagi membebankan sistem penjagaan kesihatan kita sebaik perintah kawalan pergerakan ini berakhir. Kita perlukan strategi jalan keluar yang tepat.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/08/tak-tepat-kata-kes-jangkitan-berkurangan-kata-ahli-parlimen/

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)