Kes bunuh isteri : Pemandu jengkaut didakwa di mahkamah bunuh dan miliki senjata api

Kes bunuh isteri : Pemandu jengkaut didakwa di mahkamah bunuh dan miliki senjata api

Seorang pemandu jengkaut didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh isterinya dan memiliki senjata api tanpa permit, 1 Mac lalu.

Tertuduh, Mohd Hanafi Patahur Rahim berusia 43 tahun didakwa membunuh isterinya Hasliza Alias, 38 di kediaman mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa menembak isterinya yang sedang tidur kira-kira jam 3.30 pagi awal Mac lalu.

Lebih tragis, mayat mangsa disumbat dalam tong air biru sebelum ditanam di sebuah ladang di Bandar Penawar, Kota Tinggi kira- kira 30 kilometer daripada kediaman mereka.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan 18 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Sementara di mahkamah sesyen pula, Hanafi didakwa atas empat pertuduhan memiliki senjata api tanpa lesen.

Terdahulu, polis merampas senapang angin, senapang patah, 64 butir peluru yang merupakan milik suspek.

Hakim Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhkan hukuman 6 tahun penjara selepas Hanafi mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan memiliki senjata tanpa lesen di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pemandu-jengkaut-didakwa-bunuh-isteri-miliki-senjata-api-tanpa-permit-288329