Mahkamah Tinggi Kota Bharu menangguhkan kes saman Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) terhadap Datuk Husam Musa kepada tarikh 28/4/2019. Penangguhan ini untuk membolehkan agar pihak Peguam Nik Bahrum dari Nor Bahrum & Co mewakili AKSB dan Peguam Shamsul Baharin dari Tetuan Rozma Baharin mewakili Datuk Husam Musa memfailkan penyata keterangan saksi secara bertulis bagi tujuan perbicaraan penuh nanti.
AKSB pada 12/4/2018 telah memfailkan saman terhadap Husam kerana mendakwa Husam telah memfitnah AKSB memberikan tender secara salah kepada sebuah syarikat yang belum wujud ketika tender berkenaan dikeluarkan.
Tender yang dipersoal Husam itu ialah berkaitan dengan Skim Bekalan Air Merbau Chondong fasa II (Pakej 1), Jajahan Machang, Kelantan.
Husam di dalam pembelaannya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah menyatakan bahawa beliau tidak melakukan sebarang perbuatan fitnah kerana syarikat itu telah diberikan tender berkenaan oleh AKSB pada 22/1/2015 sedangkan syarikat itu hanya ditubuhkan pada 9/3/2015.
Malah Husam menyatakan di dalam penyata pembelaan yang telah beliau failkan di mahkamah, terdapat surat daripada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Kelantan bertarikh 18/4/2016 menasihati Kerajaan Kelantan agar menarik balik tender berkenaan dan membuat proses tender semula. Walau bagaimanapun menurut penyata pembelaan Husam, tiada tender semula dibuat. Adalah difahamkan bahawa surat berkenaan sudah dimasukkan sebagai salah satu bahan bukti bagi perbicaraan kes ini nanti.