Kes Adib : Kini Pas kata serah kepada kebijaksanaan pihak berkuasa

pembangkang

Pemimpin PAS menegaskan isu kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim perlu diberikan keadilan.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata, bagaimana cara untuk menyelesaikan kes itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Pandangan kita, keadilan mesti diberikan kepada Adib. Macam mana caranya kita serah kepada kebijasanaan pihak yang berkuasa.

“Terutamanya pihak polis dan peguam negara. Perlu diselesaikan, sebab sekarang orang bercakap macam-macam termasuk keluarganya sendiri pun tak puas hati,” katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan kes tersebut.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri (KDN) Hamzah Zainuddin berkata kertas siasatan kes kematian Muhammad Adib dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Menurutnya antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Seksyen itu berkaitan penyertaan dalam perhimpunan menyalahi undang-undang yang memperuntukkan hukuman sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya.

Cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Bagaimanapun perkara menimbulkan polemik baru antara lain dibangkitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang mempersoalkan kenapa pihak berkuasa hanya mengesyorkan pertuduhan menyertai perhimpunan awam dalam kes kematian Adib.

Sementara itu Mohd Amar menegaskan kes tersebut perlu diberikan keadilan sewajarnya supaya dapat diselesaikan dan tidak berlanjutan tanpa kesudahan.

“Jadi kita patut berikan keadilan supaya isu ini boleh diselesaikan, tidak jadi terheret-heret tak selesai sampai bila-bila,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/537582