Kerjasama parti-parti dalam PH perlu dipelihara, kata Pengerusi Amanah Selangor

Kerjasama parti-parti dalam PH perlu dipelihara, kata Pengerusi Amanah Selangor

Pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dinasihatkan untuk memelihara kerukunan serta kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Amanah Negeri Selangor, Ir Izham Hashim menerusi satu hantaran di Facebook berkata, kerjasama antara tiga parti itu perlu dipelihara kerana agenda untuk pembangunan rakyat dan negara yang masih belum selesai.

Menurutnya, perpaduan ketiga-tiga parti itu yang ampuh terserlah dalam memperjuang dan memartabatkan maruah rakyat serta negara, malah ia menjadi igauan serta dicemburui musuh-musuh politik mereka.

“Terbukti selama ini perpaduan kita amat ampuh dan efektif dalam memperjuangkan, memartabatkan maruah rakyat dan negara dan ini menjadi igauan serta cemburu musuh-musuh politik kita.

“Percayalah jika kita tunduk kepada tohmahan dan adu domba mereka serta berpecah-belah sesama kita, kelak semua pasti rugi,” katanya pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu menyeru gagasan kerjasama terbabit untuk menyelesaikan isu-isu yang menjadi perselisihan secara dalaman, saling hormat-menghormati dan berlapang dada serta menjauhi budaya memfitnah serta mencela antara satu sama lain.

Katanya, beliau yakin jika ia diamalkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab, mereka bukan saja akan mengekalkan pentadbiran di negeri-negeri yang ada sekarang, malah akan dapat ambil semula pentadbiran negara Malaysia.

“Selesaikan isu-isu yang menjadi perselisihan kita secara dalaman dan ambil sikap hormat menghormati dan berlapang dada sesama kita serta jauhi budaya memfitnah serta mencela antara satu sama lain.

“Insya-ALLAH, saya yakin jika kita amalkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab, kita bukan saja akan mengekalkan pentadbiran di negeri-negeri yang ada sekarang malah akan dapat ambil semula pentadbiran negara Malaysia tercinta kelak,” katanya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/126367/BERITA/Politik/Kerjasama-PKR-Amanah-DAP-dalam-PH-perlu-dipelihara-Ir-Izham