KERAJAAN dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Januari tahun lalu memutuskan tidak akan meneruskan Program Sarapan Pagi (PSP) percuma untuk murid sekolah rendah, kata Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut laporan Themalaysianinsight, program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah kepada murid B40 yang layak di sekolah rendah akan diteruskan dengan penambahbaikan, kata KPM.
“KPM yakin pelaksanaan RMT pada ketika ini dapat memberi impak positif kepada keadaan kesihatan, fizikal dan amalan pemakanan sihat oleh murid sekolah rendah khususnya murid B40,” menurutnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.
KPM menjawab soalan Ahli Parlimen Maszlee Malik (Simpang Renggam-Bebas) sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan semula PSP untuk murid sekolah rendah pada tahun depan.
PSP diperkenalkan pada 2019 ketika Maszlee menteri pendidikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Program itu mula dilaksanakan pada awal tahun lalu.
Semasa sidang Dewan Rakyat pada 30 September lalu, Maszlee berkata mengikut kajian pada 2019 pelaksanaan program PSP dijangka akan memberi manfaatkan kepada hampir 2.7 juta murid bagi tempoh 200 hari setahun.