Kerajaan PN berada dalam ‘alam penafian’ yang parah. Sejak episod hitam politik nasional tercetus Februari 2020, saya telah menggunakan ungkapan seperti ‘negara disakiti’ atau ‘tercedera’ untuk menggambarkan bagaimana kesan mandat yang dikhianati telah melukai negara. Prinsip demokrasi dilanggar, diceroboh dan lukanya terlalu dalam untuk negara yang masih traumatik dengan tindakan segelintir manusia yang tamak kuasa dan penting diri.
Sudahlah negara bergelut keluar dari impak covid, krisis politik yang dicetuskan seolah menambah garam pada luka rakyat. Dua krisis ini membawa parah yang lebih tepat digambarkan umpama simptom Cerebrovaskular Accident (Stroke) (Lumpuh) di mana aliran darah ke organ vital otak mula perlahan dan boleh terhenti. Demikianlah negara tanpa demokrasi yang dilanggar gara-gara pengkhianatan mandat!
Perkataan ‘PEMULIHAN’ terlalu lesu malah satu penghinaan kepada derita yang dialami selama ini sejak Februari 2020. Apatah lagi dengan titah YDPA supaya kembalikan demokrasi berparlimen yang terjerat sejak nasihat Darurat oleh PM yang goyah kerajaannya.
PEMULIHAN merujuk hanya satu sudut dan itulah yang dimaksudkan oleh PM Mahiadin iaitu makluman fasa negara keluar dari covid. Namun penderitaan negara bukan hanya semata-mata impak covid tapi juga impak moral dari pengkhianatan mandat yang menyebabkan sistem pemerintahan terluka dan simpton hilang kepercayaan kepada institusi politik dan institusi pemerintahan sudah menular dan mula berakar umbi di kalangan rakyat.
Untuk memberi keadilan kepada analisis luka parah yang lebih mendasar kepada negara, perkataan ‘PENYEMBUHAN’ lebih tepat dipakai untuk penawar yang menjaminkan ‘kesihatan menyeluruh negara’ (total well being of the nation) dengan demokrasi sebagai tonggaknya.
Kerajaan PN hari ini dan seluruh aparatus negara dipaksa untuk berada dalam ‘alam penafian’ (state of denial). Titah YDPA dan Raja Melayu sangat berhikmah dalam memberi amaran kepada PM supaya segera keluar dari alam penafian dan berhadapanlah dengan hakikat, kita sedang hampir kelumpuhan kerana demokrasi dicabuli gara kerajaan yang tidak stabil dan majoritinya diragui.
Keyakinan saya betapa perlunya negara kepada PENYEMBUHAN semakin bertambah apabila ‘dentuman titah’ masih belum berjaya menyedarkan PM Mahiadin dan lebih malang daripada itu segala aparatus kerajaannya dipaksa kekal dalam keadaan penafian justeru mengheret negara menuju ke arah negara gagal!
PENYEMBUHAN bertujuan membekalkan remedi kepada seluruh anggota badan termasuk aapek moral dan spiritualnya yang terkesan. Alasan demi alasan diberikan oleh kerajaan PN seolah tidak mahu mengakui bahawa negara sedang tenat sehinggakan perkataan mudah seperti ‘SEGERA’ pun Menteri Undang-Undamg dan Peguam Negara berhempas pulas membelit maknanya.
Negara memerlukan keajaiban (miracle) untuk sembuh dari luka dalam yang dialaminya sepanjang tahun 2020 dan masih meraung kesakitan saat ini. Usah mencari tongkat sakti di tempat yang jauh, tongkat sakti itu ada pada rakyat yang berhak menuntut PROSES PENYEMBUHAN’, Parlimen adalah suara rakyat, tidak kira siapa yang mewakilinya, rakyat perlu menuntut PROSES PENYEMBUHAN bukan PEMULIHAN!
Seorang yang sakit dan menafikan dia sakit tidak mungkin buat PEMULIHAN kerana penafian berterusan hakikatnya adalah pembohongan yang hanya menimbunkan lagi masalah sehinggakan kita jadi buta untuk mencari penyelesaiannya! Cukuplah dengan PEMULIHAN dan pembohongannya…ayuh kita SEMBUHKAN NEGARA bersama!
#Sembuhkannegara
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti AMANAH Negara
Sumber: