Kerajaan perlu fokus usaha kurangkan kes kematian masa ini

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan bahawa kerajaan seharusnya menumpukan sepenuhnya kepada usaha untuk mengurangkan kadar kematian ekoran Covid-19 dan pesakit di unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata, sekatan pergerakan bukan sahaja tidak berkesan untuk membendung bilangan kes positif Covid-19 yang tinggi setiap hari, tetapi juga gagal membendung kadar kematian ketika ini.

Katanya, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sistem penjagaan kesihatan semakin lama semakin lumpuh, dengan kapasiti yang tidak mencukupi sehingga memaksa pesakit Covid-19 dirawat di atas lantai atau di koridor hospital.

“Sementara PKP pertama pada Mac 2020 adalah peluang untuk meningkatkan kapasiti sistem kesihatan awam negara, sekatan pergerakan berikutnya dilakukan dengan persepsi yang salah bahawa penularan virus dapat dihapuskan sepenuhnya hanya dengan sekatan pergerakan.

“Lockdown sekejap-sekejap ini sekarang terbukti tidak berkesan, terutamanya apabila virus telah mencapai tahap kritikal tertentu dalam masyarakat,” katanya ketika pembentangan kertas kerja DAP mengenai dasar pemulihan kesihatan dan ekonomi di sini hari ini.

Justeru, katanya, DAP mengusulkan perubahan paradigma dari objektif sifar Covid-19 dan total lockdown kepada “Hidup dengan Covid-19” dengan menggunakan lockdown bersasar.

“Sebagai contoh, kita harus mengakui 25,000 kes positif Covid-19 tanpa pesakit ICU atau kematian, adalah jauh lebih baik daripada 5,000 kes positif dengan 100 di ICU dan 20 kematian.

“Yang diutamakan bukanlah langkah-langkah yang akan mengurangkan jumlah jangkitan, tetapi langkah-langkah yang secara drastik akan mengurangkan jumlah kes yang tinggi dan kes kematian akibat Covid-19,” katanya.

Katanya lagi, polisi baharu yang diusulkan DAP turut menggariskan empat langkah iaitu mengawal dan mengurangkan gelombang jangkitan semasa; kesediaan untuk menghadapi wabak masa depan; buka sektor sosial dan ekonomi dengan selamat dan merangka strategi jangka sederhana untuk menangani Covid-19.

Guan Eng berpendapat, empat langkah itu bukan sahaja mampu mengatasi masalah kesihatan dan ekonomi negara dengan segera, ia juga berupaya membuka jalan ke depan untuk reformasi jangka panjang.

“Kita kena sesuaikan diri hidup bersama Covid-19, mungkin ada yang kaget, rasa tak biasa tetapi ini realiti yang perlu dihadapi sekiranya tak boleh kalahkan Covid-19, supaya kehidupan tidak terjejas dan dapat kurangkan kadar jangkitan dan kadar kematian.

“Jangan buat pelan secara adhoc, perlu ada satu pelan masa depan. Pelan kerajaan ketika ini tidak masuk akal dengan menyasarkan pengurangan kes Covid-19, perkara ini tidak akan berlaku sebaliknya perlu ada pelan yang lebih baik,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/covid-19/2021/07/kurangkan-kadar-kematian-daripada-kurangkan-bilangan-kes-covid-19-guan-eng/

BACA JUGA : Panas !!! Kenyataan Speaker bukti Proklamasi Darurat tidak akan dibahas