Kerajaan Negeri Sembilan beli PPR Rantau untuk pastikan rakyat miliki rumah

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada dasarnya sudah bersetuju untuk membenarkan kerajaan Negeri Sembilan mengambil alih pengurusan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rantau, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata, pihaknya difahamkan KPKT sedang dalam tindakan penyediaan kertas cadangan pengurusan dan pengisian PPR Rantau untuk di bawa ke Kabinet.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah bersetuju untuk membeli skim PPR Rantau itu daripada kerajaan Persekutuan dengan tawaran harga RM3.5 juta.

Kerajaan Negeri Sembilan beli PPR Rantau untuk pastikan rakyat miliki rumah

“Kerajaan negeri bersetuju membeli projek PPR Rantau itu dan mengambil alih pengurusan sepenuhnya bertujuan memastikan rakyat berpendapatan rendah dapat memiliki atau menduduki rumah berkenaan secepat mungkin.

“Sebelum ini, ada cadangan untuk melaksanakan kaedah sewa beli terhadap PPR berkenaan, namun dilihat tidak praktikal kerana penyewa tidak berpeluang untuk memiliki hartanah berkenaan.

“Menerusi pembelian itu, pemilik akan membayar secara ansuran selama 25 tahun dan kemudian rumah berkenaan menjadi milik mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Teo berkata, KPKT akan menyerahkan kunci rumah projek itu kepada kerajaan negeri dan kemudiannya akan diserahkan kepada pemilik rumah terbabit yang dijangkakan dapat dilakukan sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, projek berkenaan dibina atas tanah milik kerajaan negeri dan Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) sudah dilantik untuk menguruskan PPR terbabit.

Katanya, pihaknya berharap pembeli rumah berkenaan dapat bersabar kerana kelewatan penyerahan kunci rumah PPR Rantau itu adalah disebabkan oleh perpindahan pengurusan dan pentadbiran projek itu daripada KPKT kepada kerajaan negeri.

“Saya yakin masalah PPR Rantau itu akan dapat diselesaikan secepat mungkin atau dalam tahun ini sebaik KPKT menyerahkan kunci rumah berkenaan kelak.

“Hasrat kami untuk membantu rakyat memiliki rumah sendiri dan bukan setakat menjadi menyewa semata-mata,” katanya.

Teo menambah, PPR Rantau yang mempunyai 100 unit rumah teres mula dibina pada 16 Januari 2017 untuk golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dan ia dijual pada harga RM35,000 sebuah.

Katanya, projek itu sudah siap untuk diserahkan kepada pemilik rumah, bagaimana berlaku kelewatan dalam penyerahan kunci rumah disebabkan pengurusan daripada KPKT kepada kerajaan negeri.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/753194/negeri-sembilan-setuju-beli-ppr-rantau-rm35-juta

BACA JUGA : Ini senarai SJR yang masih dikekalkan di daerah Petaling