Kerajaan kena naikkan siling hutang, kata ahli ekonomi

Kerajaan kena naikkan siling hutang, kata ahli ekonomi

Seorang ahli ekonomi menggesa Putrajaya meningkatkan lagi siling hutang dengan berkata, kerajaan tidak dapat mengelakkan langkah itu kerana perlu terus berbelanja untuk menyokong ekonomi.

Ia susulan kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak bahawa nisbah hutang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah melampaui had 60% berbanding angka 58% yang diumumkan kerajaan.

Najib berkata, nisbah 58% itu dapat dicapai kerana pengiraan kerajaan tidak mengambil kira hutang asing seperti yang dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini dan negara lain.

Beliau berkata, ini perlu diperbetulkan, sama ada dengan meningkatkan had hutang kepada 65% atau mengurangkan hutang.

Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, kerajaan perlu meningkatkan had hutang bagi membolehkannya berbelanja lebih banyak pada masa-masa mencabar kini.

Beliau berkata, ekonomi memerlukan pemangkin yang mencukupi untuk menggalakkan pertumbuhan.

“Peraturan praktikal yang ditetapkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan agensi penilaian dalam menentukan sikap berhemah sesebuah ekonomi tidak begitu tidak terpakai semasa darurat.

“Secara teori, Kabinet boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meluluskan pindaan dalam Ordinan Darurat bagi meningkatkan nisbah hutang, yang sebelum ini ditetapkan pada kadar 60%.”

Ogos lalu, kerajaan meningkatkan siling hutang daripada 55% kepada 60% melalui Rang Undang-Undang Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) 2020.

Sementara itu, Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, kenaikan siling hutang kepada 65% hanyalah penyelesaian jangka pendek sewaktu program vaksinasi Covid-19 dijalankan.

Beliau berkata, kemungkinan siling hutang jatuh semula kepada 55% adalah tipis selagi pandemik itu melanda.

“Ia akan mengambil masa beberapa tahun sebelum kita dapat menurunkan siling hutang, mungkin seawal 2022 dengan syarat tidak berlaku lagi krisis kesihatan atau ekonomi.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/27/tingkat-lagi-siling-hutang-putrajaya-diberitahu/