Kerajaan Kelantan perlukan RM60 juta untuk baiki tebing sungai Kelantan

Kerajaan Kelantan perlukan RM60 juta untuk baiki tebing sungai Kelantan

Kerajaan Kelantan memerlukan peruntukan RM60 juta untuk melaksanakan kerja membaiki runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas pada Rabu lepas, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, peruntukan itu bagi membolehkan tebing sungai berkenaan diperbaiki dan diperkukuhkan selain turut membabitkan kos pengambilan tanah, untuk mengelakkan kejadian sama berulang.

“Peruntukan itu masih belum diputuskan sama ada dana berkenaan adalah daripada kerajaan negeri ataupun kerajaan Persekutuan. Kita akan selaras dari segi dana terlebih dahulu dan akan diteruskan dengan peringkat pelaksanaan.

“Walau bagaimanapun, perkara ini akan diselesaikan dalam tempoh segera memandangkan perkara ini (baik pulih tebing) adalah perkara mendesak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, buat masa ini pihaknya dalam pertimbangan untuk membuat penempatan sementara kepada penduduk yang terjejas dalam runtuhan tebing itu, selain menggantikan dengan rumah baharu.

Ujarnya lagi, sehingga kini Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan sedang mengenal pasti punca sebenar runtuhan berkenaan, dan setakat ini tiada pergerakan tanah berlaku.

Rabu lalu media melaporkan kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan menyebabkan lima rumah musnah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, dan kesemua 45 keluarga merangkumi 98 orang yang mendiami kawasan itu diarahkan untuk berpindah.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/rm60-juta-untuk-baiki-runtuhan-tebing-sungai-kelantan-284505