Kerajaan Gagal kini bertukar menjadi kerajaan zalim – Shazni

Kerajaan Gagal kini bertukar menjadi kerajaan zalim – Shazni

Penahanan demi penahanan dibuat oleh #KerajaanGagal untuk mengekang suara dan kemarahan rakyat. Setelah Fahmi Reza dibebaskan semalam, Mukmin Nantang dan rakan-rakan yang masih lagi ditahan setelah protes melawan PKPD yang menjejaskan ekonomi penduduk di sana telah menyebabkan kita berfikir; kezaliman apakah lagi yang mahu dilakukan oleh kerajaan PN & BN ini?

Menahan sekumpulan anak muda yang bersuara bagi pihak rakyat adalah tindakan zalim yang jelas mencabuli hak kebebasan bersuara.

Apatah lagi apabila pihak berkuasa sendiri yang memulakan provokasi sebelum penahanan dibuat.

Sejak bila memegang plakad dan bersuara ini menjadi satu jenayah? Kalau mahu menggunakan hujah darurat atau SOP untuk menahan mereka, apa cerita dengan pelanggaran SOP makhluk-makhluk kayangan sebelum ini?

Berhentilah menggunakan hujah penguatkuasaan undang-undang kerana pembesar kerajaan telah terlalu kerap melanggar SOP dan undang-undang dengan sengaja dan terbuka.

Ada sebarang tindakan? Adakah penguatkuasaan undang-undang hanya ‘valid’ kepada rakyat biasa dan ‘silent’ apabila melibatkan batang tubuh menteri atau orang-orang berpengaruh?

Kalau beginilah caranya, ternyata #KerajaanGagal yang berkuasa hari ini telah mengabsahkan dirinya dengan gelaran baharu – #KerajaanZalim.

Jawapan kepada #KerajaanZalim ini bukanlah toleransi, apatah lagi mahu berlapang dada.

Kezaliman ini perlu dilawan dan dikalahkan. Tunduk kepada kezaliman hanya memanjangkan siri-siri kezaliman selepas ini.

Dengan perangai dan tingkah Perikatan Nasional dan Barisan Nasional yang mendokong #KerajaanZalim, suara-suara rakyat akan terus dibungkam atas apa pun hujahnya.

Usah sesekali diberikan ruang. Keadilan sosial yang diinjak-injak wajib diletakkan semula pada tempatnya.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN)
Ketua Pemuda AMANAH Nasional