Kerajaan disaran benarkan B40 berniaga dengan pemantauan PBT

Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan kebenaran untuk golongan berpendapatan rendah B40 terutama peniaga kecil-kecilan menjalankan perniagaan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Pengerusi NGO Pakatan Harapan, Ustaz Asri Talib berkata, apa yang diharapkan ketika ini agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat garis panduan agar para peniaga boleh berniaga mengikut SOP yang ditetapkan.

Menurutnya, disebabkan faktor kewangan, akan ada antara mereka yang sememangnya tiada permit terpaksa juga mula menjaja secara kecilan dan melanggari terma PBT.

“Pentingnya garis panduan PKP ini untuk memberi peluang golongan B40 berniaga secara kecil-kecilan di samping pemantauan yang berhemah dari pihak PBT.

“Kita boleh lihat di mana-mana sahaja rakyat kini memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Bukan mereka tidak mahu berniaga secara dalam talian, tetapi mereka tiada kemahiran menggunakan teknologi online dan tidak mampu membeli medium berasaskan internet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ustaz Asri lagi, secara tak langsung situasi yang berlaku ketika ini berkait dengan keterlibatan PBT untuk segera melaksanakan penguatkuasaan undang-undang penjaja.

Pelaksanaan PKP bermula 18 Mac lalu dilaporkan memberi impak yang besar kepada lebih 650,000 majikan di Malaysia.

Sekurang-kurangnya 15,000 pekerja sektor swasta dilapor diberhentikan akibat kegagalan majikan untuk terus bertahan.

Kerajaan juga telah melaksanakan ‘partial lockdown’ di mana tiada pelancong dari luar negara dibenarkan memasuki Malaysia selain pelancong dalam negeri juga dilarang berbuat demikian.

Ini menyebabkan kebanyakan hotel dan syarikat yang terlibat dalam perusahaan pelancongan tidak lagi dapat bertahan.

Berita penuh :https://malaysiadateline.com/beri-peluang-peniaga-b40-mencari-rezeki-dengan-pemantauan-pbt/