Warga emas perlu dapat fokus kerajaan dalam pemberian vaksin

Warga emas perlu dapat fokus kerajaan dalam pemberian vaksin

Kerajaan disaran menyelesaikan terlebih dahulu pemberian suntikan vaksinasi terhadap warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ini kerana masih ramai golongan itu yang sudah mendaftar namun belum mendapat tarikh janji temu untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Beliau berkata, keadaan itu merisaukan kerana warga emas adalah golongan rentan, berisiko tinggi dan mempunyai penyakit berbahaya.

“Kadar pemberian vaksin pada masa ini berada pada tahap yang sangat memberangsangkan. Setiap hari dilihat berlaku peningkatan jumlah dos pemberian vaksin. Ini menunjukkan, kita dalam landasan yang tepat untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, sebelum kita melangkah ke lebih banyak fasa vaksin iaitu ketiga, keempat dan seterusnya, saya berharap kita dapat menyelesaikan pemberian vaksin kepada golongan fasa kedua iaitu warga emas berumur 60 tahun ke atas.

“Sehingga hari ini, masih lagi terdapat ramai warga emas yang belum mendapat tarikh untuk divaksin menerusi aplikasi MySejahtera mereka. Lebih membimbangkan terdapat warga emas berisiko tinggi yang mempunyai penyakit komorbiditi atau penyakit berbahaya lebih daripada satu, masih belum mendapat vaksin,” katanya.

BACA JUGA : https://gemilangdaily.com/mp-keliru-dengan-perjalanan-program-vaksinasi/

Lam Thye berkata, langkah untuk menyelesaikan terlebih dahulu suntikan vaksin COVID-19 kepada golongan itu adalah wajar.

Sehubungan itu, katanya, mereka harus segera divaksin bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Harapan saya ialah agar kerajaan dapat memberi keutamaan dengan melengkapkan pemberian vaksin kepada semua golongan fasa kedua ini sebelum meneruskan pemberian vaksin ke fasa seterusnya.

“Kita masih belum menang, tetapi jika kita semua ambil langkah yang proaktif dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta sentiasa memakai pelitup muka dan kekalkan penjarakan sosial.

“Kita akan menang dan akan mencapai imuniti kelompok menuju ke akhir tahun,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/829706/selesaikan-pemberian-vaksin-covid-19-kepada-warga-emas-lam-thye