Satu lagi insiden kemalangan maut akibat pemandu mabuk dilaporkan berlaku di Highway Lekas melibatkan seorang anggota polis Melayu Islam. Takziah kepada keluarga dan saya doakan Allahyarham ditempatkan di kalangan solihin.
Amat sedih di dalam waktu PKP di mana anggota polis berkhidmat di barisan hadapan menyelamatkan rakyat dari penularan wabak Covid-19, telah meninggal dunia akibat pemandu mabuk. Pesalah hendaklah dihukum maksimum dan tiada Mercy. Pesalah sudah pasti tahu dan sedar memandu mabuk boleh membawa maut. Tiada mitigasi yang boleh dijustifikasikan. Mangsa kemalangan tidak mengenal kaum dan agama.
Kenapa orang Islam menjadi mangsa sedangkan tidak minum arak. Ini satu diskrimasi dan kebebasan ini harus dihentikan. Arak bukan amalan mana-mana agama, ia amalan manusia yang perlu dikawal ketat kerana melibatkan nyawa orang yang tidak bersalah.
Kerajaan perlu segera meningkatkan hukuman penjara terhadap pemandu mabuk. Kerajaan PH telah berusaha untuk meningkatkan hukuman sehingga 20 tahun berbanding 10 tahun ketika ini, namun tidak sempat diluluskan akibat rompakan kerajaan.
Kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk wajar dikenakan hukuman lebih berat.
Oleh itu, selain denda dan penjara, hukuman sebat perlu dipinda dan dilaksanakan. Jika memiliki dadah boleh dikenakan hukuman sebat kerana dadah membawa maut, kenapa pemandu mabuk yang membunuh mangsa di jalanraya diberikan hukuman lebih ringan.
Diskrimasi ini perlu dihentikan. Biar hukuman sebat menjadi satu amaran serius kepada rakyat. Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 wajib dipinda segera. Sesi Parlimen 18 Mei ini harus dipanjangkan untuk tujuan ini.
Namun, apa-apa jenayah sekalipun, sememangnya hukuman sahaja adalah tidak mencukupi. Maka, usaha lebih serius dengan meningkatkan kempen kesedaran.
Selain itu, pengawalan penjualan arak secara komprehensif perlu bermula. Peraturan khusus melarang orang ramai meminum arak di tempat awam adalah penting dengan larangan mengambil minuman beralkohol selepas jam 12 malam.
Beberapa pindaan undang-undang lain perlu dilakukan. Penjualan minuman beralkohol hanya dibolehkan untuk dijual di kedai-kedai khusus arak sahaja. Kedai-kedai runcit menjual arak yang mudah diperolehi perlu dibatalkan kerana arak bukan barang keperluan.
Mabuk tidak sahaja mendatangkan kesan kepada jenayah pemanduan sahaja, bahkan melibatkan kepada perbuatan jenayah lain yang boleh dilakukan pemabuk seperti pergaduhan, kerosakan harta benda, rogol dan pembunuhan.
Justeru, kesedaran rakyat perlu melibatkan pendekatan yang lebih berkesan dan dari akar umbi dengan kempen mendidik dari peringkat sekolah atau ketika mengambil lesen memandu. Sistem pendidikan harus diubah bagi meningkatkan pendidikan sivik. Displinkan rakyat daripada kecil supaya Malaysia boleh bangun maju dan berdaya saing.
Jika rakyat Malaysia Melayu Islam ataupun tidak, boleh hidup dengan disiplin sepanjang PKP, kenapa tidak disiplinkan arak. Rakyat Malaysia mampu berubah. Malaysia boleh. Normal baru bermula di sini.
Faiz Fadzil
3 Mei 2020
Sumber :