Keputusan teruskan pemilihan tahun ini disambut baik pemimpin Umno

Keputusan teruskan pemilihan tahun ini disambut baik pemimpin Umno

Keputusan UMNO untuk mengadakan pemilihan parti itu pada tahun ini adalah berita positif yang pastinya memberi kelegaan kepada lebih 3.6 juta ahli parti itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Jalaluddin Alias berkata, keputusan yang dibuat melalui mesyuarat MKT yang diadakan pada Ahad lalu adalah merupakan satu perkara baik kepada parti bagi memastikan amalan terkandung dalam Perlembagaan UMNO dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Jelas beliau, proses pemilihan UMNO mengikut jadual sebenarnya bukan satu perkara baharu dengan Perlembagaan parti menegaskan keperluannya diadakan bagi setiap tiga tahun sekali.

“Kalau hendak ditangguhkan pemilihan UMNO kepada tempoh maksimum 18 bulan sekali pun, alasan diberikan sebelum ini hanyalah disebabkan parti mahu memberi laluan kepada perlaksanaan pilihan raya umum (PRU).

“Sekarang pun kita tidak tahu lagi bila PRU. Bila Presiden buat keputusan (tidak menangguhkan pemilihan parti) dan disambut oleh semua ahli MKT UMNO, maka ini satu perkara baik dan positif buat akar umbi,”katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, MKT UMNO memutuskan untuk menghantar surat kepada Ketua Pengarah Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (RoS) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meminta nasihat dan garis panduan bagaimana untuk UMNO menjalankan pemilihan parti pada tahun ini.

Hal ini merupakan salah satu daripada beberapa ketetapan diputuskan dalam mesyuarat MKT UMNO pada Ahad lalu selain desakan terhadap kerajaan agar Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kembali bersidang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia dibuat selaras peraturan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO dan SOP Covid-19.

Mengenai tempoh masa diperlukan UMNO bagi mendapatkan konsultasi daripada MKN dan RoS, Jalaluddin yakin proses itu tidak akan mengambil masa lama.

Katanya, MKT UMNO diberitahu surat kepada MKN dan RoS itu akan dihantar secepat mungkin dengan jangkaan maklum balas daripada kedua-dua agensi kerajaan itu juga akan diberikan segera.

“Kita hendak mendapatkan garis panduan yang membolehkan pemilihan UMNO diadakan tanpa melangkaui tempoh ditetapkan,”katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kapar, Mohd Roslee Abd Hamid menegaskan parti tidak ada sebab untuk menangguhkan pemilihan melainkan alasan lain ditentukan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Mohd Roslee Abd Hamid
“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak ada sebab menangguhkan pemilihan, kalau dia hendak kekal, bertanding lah, kalau dia bertanding, dia kuat.

“Walaupun dia terpalit kes, kalau dia menang, tidak boleh hendak salahkan ahli UMNO.

“Ahmad Zahid harus tegas dengan kata-kata sendiri kerana ia akan membuatkan pimpinan akar umbi dan ahli UMNO hormat kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Roslee turut meminta ahli-ahli UMNO supaya akur jika keputusan RoS kelak menyekat pemilihan diadakan tahun ini.

“Memandangkan Covid-19 dan surat yang sudah dihantar kepada RoS, ada kemungkinan ahli akan tersekat untuk hadir mesyuarat yang hanya dibenarkan separuh kapasiti bangunan.

“Jadi UMNO tidak nampak pengecut hendak buat pemilihan tetapi dengan meminta kebenaran RoS akan menyebabkan secara tersiratnya ia mungkin ditangguhkan,” tegasnya.
Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/135779/BERITA/Politik/Pemilihan-UMNO-tahun-ini-berita-positif-kepada-akar-umbi

COMMENTS