Kenyataan balas PM biadab terhadap YDPA, kata PH

Kenyataan balas PM biadab terhadap YDPA, kata PH. Majlis Presiden Pakatan Harapan mengecam kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam yang terus berusaha menegakkan benang yang basah dan menderhakai sistem Raja Berperlembagaan dengan mempertikai titah Diraja KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti yang terkandung di dalam kenyataan media Istana Negara semalam.

Perkara pokok adalah kenyataan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen merangkap Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan di dalam Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu, yang berkata bahawa Kerajaan telah membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai.

Walau bagaimanapun, kenyataan Istana Negara semalam jelas menyatakan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong belum memberi perkenan kepada pembatalan tersebut, dan Takiyuddin telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Oleh itu, kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam adalah angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Amat penting dinyatakan bahawa Pemerintah yang telah hilang jalinan hubungan baik dan tidak lagi taat setia kepada Seri Paduka Baginda tidak mungkin bertahan.

Kenyataan

Kerajaan Perikatan Nasional dan seluruh Kabinet telah hilang keabsahan kerana kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat serta kelayakan dan kewibawaan sebagai pemimpin apabila Perdana Menteri dan Menteri gagal menjunjung titah Tuanku agar Ordinan-Ordinan Darurat dibahas dan diputus untuk diungkaikan di Parlimen, serta apabila Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen mengeluarkan kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Peguam Negara juga telah gagal menjalankan tugas rasminya untuk memberi nasihat perundangan kepada Seri Paduka Baginda secara neutral dan bebas tanpa memihak kepada Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Sepanjang sidang khas Parlimen ini, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun juga telah mempertahankan hak Kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak membenarkan perbahasan ke atas setiap Ordinan Darurat untuk dibatalkan.

Lebih mengecewakan lagi, semalam di Parlimen beliau telah menggunakan pelbagai alasan dan helah untuk mengelak dari perkara ini dibahas dan diputuskan dengan menempohkan sidang sebanyak empat kali, termasuk atas alasan semua yang berada di Parlimen perlu menjalani ujian saringan COVID-19 walaupun tidak wujud sebarang kluster Parlimen.

Tiada tindakan lain yang mesti dilakukan oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin, seluruh Jemaah Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Peguam Negara selain dari meletakkan jawatan secara terhormat atas kesalahan besar mereka sepertimana yang terkandung di dalam kenyataan Istana Negara semalam, iaitu “permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Kalau inilah yang diperlakukan Tan Sri Mahiaddin dan Kerajaan Perikatan Nasional terhadap KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, apalagi terhadap Rakyat.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Sumber:

BACA:Ibubapa dapat RM 300 sebulan bagi setiap bayi baru lahir

Artikel ini disiarkan pada 30/07/2021

COMMENTS

Wordpress (0)