Kenyataan anak Zahid ‘isu murtad’ adalah tidak bertanggungjawab

Saya terpanggil untuk menjawab fitnah yang dilemparkan oleh Nurul Hidayah yang merupakan anak kepada Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan 9 antara 10 (9/10) orang Islam di Malaysia telah murtad.

Soalan saya kepada Nurul Hidayah, dari mana data dan statistik diperolehi? Sekiranya 30 juta rakyat Malaysia dan 20 juta daripadanya adalah beragama Islam. Bermakna 18 juta umat Islam di Malaysia telah murtad. Ini fitnah yang cukup besar!

Kenyataan Nurul Hidayah ini sememangnya tidak bertanggungjawab dan mengundang fitnah kepada agensi agama dan umat Islam. Paling dikhuatiri juga mengundang fitnah yang besar kepada raja-raja Melayu yang mana merupakan Ketua Agama Islam di negeri.

Agensi agama Islam telah bertungkus lumus dalam memastikan akidah umat Islam terpelihara. Jabatan Mufti telah memainkan peranan dengan cukup baik dan berkesan. Begitu juga Jabatan Agama Islam di semua negeri telah mengadakan pelbagai program di dalam masjid, surau dan serta di mana-mana sahaja agar akidah umat Islam terpelihara. Jawatankuasa Pengawalan Akidah dipelbagai peringkat agensi agama diwujudkan bagi memastikan akidah umat Islam terpelihara.

Pihak PDRM, SKMM dan Jabatan Agama Islam juga memainkan peranan dalam menerima aduan dan seterusnya penguatkuasaan dilakukan.

Nasihat saya kepada Nurul Hidayah, tidak salah sekiranya menyatakan kegusaran tetapi ada baiknya bertabayyun lah terlebih dahulu sebelum memberikan fakta dan statistik. Benarlah di akhir zaman ini berlaku banyak fitnah, janganlah kamu pula tergolong kepada penyebar fitnah.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Israa’, ayat 36).

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Abdul Razak Bin Nordin
Naib Ketua Pemuda
Amanah Shah Alam