Kenapa perlu ada banyak sangat parti Melayu dalam satu kerajaan?, soal Shabery kepada Rais Yatim

Bekas menteri pertanian dan industri asas tani Ahmad Shabery Cheek mengingatkan bekas rakan seperjuangannya mengapa perlu terlalu banyak parti berasaskan Melayu.

Rais dan Shabery pernah menyertai Parti Semangat 46 yang diasaskan Tengku Razaleigh Hamzah selepas Umno diharamkan pada 1988.

Pengharaman Umno itu berlaku selepas penyokong Razaleigh mendakwa wujud cawangan tidak berdaftar dalam pemilihan Umno ketika itu, yang menyaksikan Razaleigh mencabar kerusi presiden yang disandang Mahathir Mohamad.

Parti itu kemudian dibubarkan dan mereka menyertai semula Umno pada tahun 1996.

“Abang Rais patut beritahu kenapa perlu ada banyak sangat parti Melayu dalam satu kerajaan?

“Dulu kita sama-sama bubar Semangat 46 untuk bersama Umno atas alasan Melayu perlu bersatu,” kata Shabery dalam hantaran di Facebook beliau.

Meskipun PN- khususnya Bersatu dan Umno- memang dibayangi isu agihan kerusi sebelum ini, ia kian panas apabila Ahli Parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad membuat kenyataan bahawa Umno sudah tidak laku di Sabah, dan semua ahli Umno yang keluar parti sudah berhijrah masuk Bersatu.

Abdul Latiff memenangi kerusi Mersing di atas tiket Umno dalam PRU lalu sebelum menyertai Bersatu.

Menteri pembangunan luar bandar itu sudah membuat permohonan maaf atas kenyataannya, namun ramai pemimpin Umno yang tetap menggesa beliau meletakkan jawatan.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga berkata Umno akan tetap bertanding di kerusi Mersing yang disandang Abdul Latiff.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/533978