Kenapa di Malaysia, vaksin tidak sampai-sampai?

Rakyat memerlukan vaksin untuk mencegah pandemik Covid-19 dan bukannya perisytiharan darurat.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berpendapat, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat kerana langkah itu belum tentu dapat mengurangkan statistik Covid-19 yang terus melonjak setiap hari.

“Kenapa di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, vaksin sudah sampai ke negara mereka dan operasi suntikan vaksin untuk selamatkan rakyat mereka telah bermula?

“Kenapa di Malaysia, vaksin tidak sampai-sampai? Hendak tunggu sampai bila? Adakah dengan perisytiharan darurat dapat membendung Covid-19? Rakyat mahukan vaksin dan bukannya perisytiharan darurat,” katanya.

Beliau yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata demikian kepada pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Masjid di sini pada Selasa.

Menurutnya, tindakan Perdana Menteri mengumumkan darurat disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan merupakan ‘keputusan politik’ untuk melepaskan dirinya yang ‘tersepit’ kerana tiada majoriti sokongan ahli Parlimen.

Hassan mendakwa, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyalahgunakan kedudukannya untuk menyelamatkan diri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada dijatuhkan mereka yang menunggu masa untuk mengambil alih kerajaan.

Katanya, tindakan Muhyiddin yang mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam konflik politik adalah tidak wajar dan sepatutnya langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah memadai dan tidak perlu darurat.

Beliau percaya Yang di-Pertuan Agong dipersembahkan maklumat dan perkembangan terkini politik yang salah dan Perdana Menteri mengambil kesempatan dengan perkembangan Covid-19 untuk memanipulasikan keadaan.

Sementara itu, Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Rabu berkata, darurat tidak wajar diisytiharkan kerana keadaan di negara ini masih stabil dan bebas daripada rusuhan disebabkan Covid-19.

“Adakah pada masa sekarang ini ketenteraman awam Malaysia terancam? Berapa banyak rusuhan berlaku sejak kerajaan PN pimpinan Muhyiddin berkuasa? Ada? Tak ada. Berapa banyak mogok-mogok pekerja seluruh negara semenjak 1 Mac 2020 hingga sekarang berlaku? Ada? Tak ada.

“Berapa banyak demonstrasi bersaiz sebesar demonstrasi Bersih 1 hingga Bersih 5 berlaku semasa Kerajaan PKP Muhyiddin berkuasa? Ada? Tak ada. Adakah rusuhan-rusuhan kaum berlaku dalam tempoh Kerajaan PKP Muhyiddin ini selama 10 bulan? Ada? Jawapannya tidak ada,” katanya.

Justeru katanya, tidak ada asas yang kukuh untuk darurat seluruh negara diisytiharkan selain mempersoalkan sama ada Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa sekarang ini sah atau sebaliknya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/118819/BERITA/Nasional/Rakyat-nak-vaksin-bukan-darurat

COMMENTS

Wordpress (0)