Kenali Ching Shih, Ratu Lanun Asia yang paling digeruni

Kenali Ching Shih, Ratu Lanun Asia yang paling digeruni

Sebut mengenai lanun, kebanyakan rakyat Malaysia pasti membayangkan lelaki menakutkan berjambang, memakai sebelah penutup mata, berkaki kudung serta tangan bercangkuk.

Manakala orang yang kurang imaginasinya hanya membayangkan lanun moden yang dilengkapi dengan bot dan parang.

Tidak kira bagaimana rupa mereka, lanun dianggap sebagai ancaman di kawasan perairan dan kerajaan Melayu terpaksa berdepan dengan mereka beberapa kali pada satu ketika dulu.

Seperti juga yang dikisahkan dalam filem mengenai lanun di Carribean, Asia juga mempunyai kisahnya tersendiri.

Ia mungkin sukar dipercayai namun dari sejarahnya, salah satu lanun yang digeruni adalah seorang wanita China bernama Ching Shih.

Ketika sesetengah lanun hanya mengetuai sekumpulan kecil kapal, tugas Ching lebih berskala besar apabila dia mengetuai 1,500 kapal dan 70,000 lelaki berada di bawah arahannya.

Siapakah dia sebenarnya dan bagaimana seorang wanita boleh menguasai Laut China Selatan?

Lukisan lama yang menggambarkan serangan lanun dilancarkan oleh Bendera Merah Ching Shih. (Gambar Hong Kong Maritime Museum)

Dilahirkan pada 1775, Ching Shih adalah gadis Kantonis yang hidup susah dan terpaksa menjual diri untuk menyara hidup.

Dia bagaimana pun tidak tertarik atau menemui sesiapa ketika melakukan ‘pekerjaan’ itu.

Memandangkan kuasa dalam masyarakat Cina ketika itu dipegang oleh lelaki, satu cara yang boleh dilakukan wanita untuk hidup dalam kelompok mereka ialah dengan menjalinkan hubungan.

Ching mendapat pelbagai manfaat menerusi hubungan yang dijalin dan memperolehi reputasi untuk perniagaan selain ilmu perdagangan serta rahsia politik.

Pada 1801, dia berkahwin dengan lanun bernama Cheng I yang melayannya dengan sangat baik.

Dalam kebanyakan sejarah, Guangzhou atau Canton adalah hab perdagangan penting serta tempat persembunyian lanun. (Gambar Wikipedia)

Ketika itu, Laut China Selatan adalah lokasi sibuk dengan kehadiran kapal dagang yang berulang-alik antara pelabuhan, iaitu sasaran lumayan untuk lanun.

Pada masa sama, berlakunya perang antara Vietnam dan China apabila Vietnam mengupah lanun dari wilayah Guangzhou untuk mengganggu tentera China.

Di kalangan kumpulan lanun itu, Cheng bersama-sama Ching memulakan armada profesional mereka secara kecil-kecilan.

Selepas perang berakhir, pasangan lanun itu mula menggabungkan kumpulan lanun Kantonis menjadi satu.

Ia membabitkan lebih 70,000 ahli yang menggunakan 800 kapal perang dan 1,000 kapal kecil.

Ia kemudiannya dibahagikan kepada enam armada yang dibezakan mengikut warna bendera iaitu biru, merah, hijau, hitam, putih dan kuning.

Tidak seperti lanun dalam sejarah yang cenderung mengambil kontrak kerajaan, pasangan lanun itu tidak berada di bawah kuasa kerajaan China.

Rumah pelacuran terapung digelar ‘bot bunga’, pemandangan biasa di Guangzhou dan kemungkinan besar menjadi tempat Ching Shih mula berdagang. (Gambar Wikipedia)

Apabila Cheng meninggal dunia pada 1807, Ching terus mengambil kuasa terhadap gabungan itu sambil memberi jaminan kepada semua bahawa mereka akan mendapat manfaat.

Dia kemudiannya berkahwin semula dan kali ini pasangannya ialah ketua paling berkuasa dalam Armada Bendera Merah.

Wanita itu mempunyai disiplin yang tinggi dan tegas dalam memberi arahan malah turut mewujudkan kod undang-undang yang progresif untuk dipatuhi.

Wanita yang ditangkap dalam serangan lanun diberi perlindungan daripada serangan seksual dan lanun boleh berkahwin dengan mereka manakala mendera atau curang adalah dilarang.

Tinggalan kapal di pelabuhan di Guangzhou, tidak sama dengan kapal yang berkhidmat di bawah Ching Shih. (Gambar Wikipedia)

Ching adalah pemimpin hebat dan cekap sekali gus meluaskan lagi kuasanya ketika itu.

Kapal di bawah Armada Bendera Merah dilengkapi dengan 200 meriam dan 1,300 senjata kecil pada kapal.

Kapal tentera Dinasti Qing sering diserang dan karam, menyebabkan kerajaan terdesak dan mengambil tentera upahan untuk bertempur bagi pihak mereka.

Komander tentera laut turut dihantar untuk menangkapnya namun tentera hanya berjaga di kawasan darat selain mensabotaj kapal sendiri untuk mengelak daripada bertemu Ching.

Dengan kewujudan tentera yang agak lemah, lanun berjaya melancarkan serangan di seluruh perairan selatan China.

Ching tidak mengehadkan aktivitinya di lautan saja, mahal turut membuka pejabat kewangan di beberapa pekan dan bandar yang membolehkan lanunnya memaksa penduduk tempatan memberi wang perlindungan.

Reputasinya naik mencanak dalam tempoh sehari saja manakala lanunnya menyerang kapal milik Amerika ke Macau, menawan kapal Portugis dan memintas konvoi feri Siam ke China.

Ukiran gambar Ching Shih yang dihasilkan pada abad ke-18 (Gambar Wikipedia)

Ketika segelintir lanun berjaya ditangkap, dihukum atau dikalahkan dalam perang, Ching menemui jalan keluar yang unik.

Pada 1810, gabungan lanun itu semakin lemah dan tentera laut moden Eropah menguasai lanun dan pada masa sama kerajaan China turut menawarkan pengampunan untuk menghentikan serangan lanun.

Ching menyedari ia adalah satu peluang jarang diberikan dan secara sukarela menamatkan pegangan ke atas kumpulan itu sebelum dibubarkan.

Suami keduanya pula dibenarkan menyimpan 120 kapal untuk dirinya dan dijadikan sebagai pegawai tentera laut.

Ironinya, dia menjadi pemburu lanun berkemahiran dan bekas ratu lanun itu hidup selesa dengan status baru si suami.

Selepas kematian suaminya pada 1822, Ching bersara dan tinggal di Guangzhou bersama anak lelakinya di mana mereka membuka sebuah rumah perjudian sebelum dia meninggal pada usia 69 tahun.

Kehidupannya penuh ranjau tetapi kuasa yang pernah dipegang telah meninggalkan sejarah sebagai ratu lanun Asia.

Berita penuh : https://puteradaily.com/ching-shih-ratu-lanun-asia-yang-digeruni/