Kempen harga ayam : Setelah teruk ‘dibelasah’ netizen, KPDNHEP padam posting di FB

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memadam satu catatan dibuatnya di Facebook mengenai perbandingan harga ayam di pasar awam dan pasar raya di Facebook susulan pelbagai pertikaian dan kecaman oleh warganet.

KPDNHEP di laman Facebook rasminya semalam memuat naik imej grafik memaparkan dialog dua orang pengguna yang membuat perbandingan harga ayam, dengan harga di pasar awam digambarkan lebih mahal berbanding pasar raya.

Dijelaskan dalam imej berkenaan, walaupun ayam di pasar raya lebih murah, namun kualitinya sama dengan yang dijual di pasar awam.

Kempen harga ayam : Setelah teruk 'dibelasah' netizen, KPDNHEP padam posting di FB

KPDNHEP di laman Facebook rasminya semalam memuat naik imej grafik memaparkan dialog dua orang pengguna yang membuat perbandingan harga ayam, namun catatan berkenaan telah dipadam. (Gambar Facebook)

Pengguna Facebook, Khairul Anuar Basri berkata, secara sedar atau tidak, kempen ini bersifat “jahat” secara tersembunyi.

“Secara sedar atau tidak, ini kempen jahat secara tersembunyi, yang kaya bertambah kaya yang miskin bertambah papa kedana,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Azzif Anuwar berkata, kempen dianjurkan KPDNHEP ini hanya menyokong satu pihak.

“Carilah formula bantu peniaga di pasar awam dan juga di pasar raya secara bersamaan bukannya berat sebelah menyokong satu pihak sahaja,” komennya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pasar Borong Harian Selayang, Mohamad Pandu Insan Yahya berkata, kempen tersebut tidak sepatutnya dijalankan kerana ia menganjurkan diskriminasi terhadap peniaga pasar awam.

Katanya, peniaga pasar awam yang kebanyakannya adalah peniaga kecil menetapkan harga berdasarkan harga diberi pembekal.

“Harga ini datang daripada pembekal. Apabila pembekal mengeluarkan harga yang tinggi, mereka terpaksa jual dengan harga tinggi. Keuntungan mereka tetap sama sebenarnya, cuma harga yang berubah,” katanya.

Menurut beliau, KPDNHEP sepatutnya mencari jalan penyelesaian yang adil bagi pihak peniaga pasar awam, pasar raya dan juga pengguna, bukan hanya menekan satu pihak.

“Peniaga sangat tersepit, mereka pun tak mahu harga tinggi jadi bila pelanggan tertekan dengan harga tinggi, mereka pun terpaksa hadap kesannya,” katanya ketika dihubungi FMT.

FMT telah cuba mendapatkan komen daripada pihak KPDNHEP mengenai hal ini.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/14/kempen-harga-ayam-dituduh-berat-sebelah-kpdnhep-padam-catatan-di-facebook/

BACA JUGA : Hishamuddin jumpa 3 menteri hari ini bincang kelonggaran SOP, kebenaran rentas negeri

COMMENTS