Kemahiran memimpin Muhyiddin mula dipersoal. Seorang penganalisis politik berpendapat Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu meningkatkan kemahirannya memimpin untuk meraih rasa hormat rakyat.
Ahli akademik Azmi Hassan berkata, Muhyiddin harus fokus kepada gambaran keseluruhan, termasuk mengetahui jawatankuasa mana yang menangani perihal apa.
Katanya, rakyat secara azalinya akan mengagumi mereka yang mampu memimpin dengan baik, dan mereka mengharapkan perdana menteri membuat dasar yang wajar dan menunjukkan bahawa kerajaan tahu apa yang sedang dilakukannya.
“Inilah yang rakyat mahu. Mereka mahu melihat kemajuan menerusi dasar Perdana Menteri,” katanya
“Mungkin strategi Muhyiddin mengumumkan bantuan bakul makanan, tetapi itu sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri, bukan perdana menteri sendiri.”
Awal minggu ini, Muhyiddin mengumumkan program Bakul Prihatin Negara sebagai sebahagian daripada tindak balas kerajaan terhadap krisis Covid-19.
Beliau turut menggesa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mempertimbangkan kelonggaran pergerakan individu yang lengkap dua dos vaksinasi.
Namun, kata Azmi, pelonggaran sekatan pergerakan berada bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang dipengerusikan Muhyiddin.
“Cadangan itu berkait SOP (prosedur operasi standard), tiada kena mengena dengan JKJAV,” katanya, sambil menambah, Muhyiddin perlu “faham” hal-hal seperti itu.
Azmi berkata, rakyat tidak puas hati dan hilang keyakinan terhadap kerajaan berikutan lonjakan kes Covid-19 yang mencapai rekod setinggi 13,215 kes pada Khamis.
“Rakyat marah, seperti yang dilihat di media sosial. Kerajaan perlu tunjuk bahawa ia tahu apa yang sedang dilakukannya untuk meringankan beban rakyat,” katanya.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/17/pm-perlu-tingkat-kemahiran-memimpin-fokus-gambaran-keseluruhan-kata-penganalisis/