Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi kelonggaran kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang kurang berkemampuan untuk membayar yuran pendaftaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) secara ansuran atau memohon penangguhan bayaran.
Menurut Mara dalam satu kenyataan hari ini, pelajar yang tidak berkemampuan untuk membuat pembayaran secara sepenuhnya pada hari pendaftaran diminta memaklumkan kepada pengurusan maktab bagi memohon penangguhan bayaran atau melunaskan secara ansuran.
Pihak Mara menetapkan bayaran yuran pendaftaran bagi pelajar baharu Tingkatan 1 dan 4 untuk kemasukan ke MRSM 2019 sebanyak RM342 dengan sebahagian besar daripada yuran itu adalah untuk kegunaan dan menampung aktiviti pelajar sepanjang pembelajaran mereka di MRSM.
“Pelajar dan ibu bapa tidak perlu bimbang kerana pihak Mara sentiasa memberikan keutamaan kepada pelajar B40 serta memastikan cita-cita mereka untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM tidak terhalang,” jelas kenyataan itu.
Mara turut memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pendidikan Mara (BUDI) dalam usaha membantu golongan pelajar miskin tegar. Menerusi skim BUDI, pelajar yang terpilih tidak akan dikenakan sebarang bayaran yuran, bahkan mereka turut dipertimbangkan untuk mendapat bantuan wang saku berjumlah RM50 sebulan serta pengecualian bayaran wang caruman sebanyak RM60 sebulan.
Menurut kenyataan itu, Mara menyasarkan 500 pelajar ditawarkan skim BUDI bagi tahun ini.
“Bantuan ini ditaja beberapa GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan juga pusat zakat. Sehubungan itu, Mara turut mempelawa syarikat-syarikat dan orang ramai terutamanya anak-anak ANSARA (anggota Persatuan Bekas Pelajar MRSM Se-Malaysia) yang telah berpeluang mendapat pendidikan terbaik MRSM sebelum ini untuk turut menyumbang kepada program BUDI. “…semakin besar sumbangan diterima, semakin ramai anak di bawah kumpulan B40 dibantu sepanjang pembelajaran mereka di Mara,” menurut kenyataan itu.