Kelantan arah henti beri Sinovac, akan diganti Pfizer. Jabatan Kesihatan Kelantan mengarahkan semua agihan vaksin Sinovac dos pertama kepada semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri itu digantikan dengan vaksin jenis Pfizer, mulai 18 Julai ini.
Pengarahnya, Zaini Hussin berkata, bekalan vaksin Sinovac kepada Kelantan akan ditamatkan pada akhir bulan ini dan akan diganti dengan vaksin Pfizer.
“Oleh yang demikian, mulai 18 Julai 2021 semua PPV hanya akan dibekalkan dengan dos kedua vaksin Sinovac, tiada lagi bekalan untuk dos pertama mulai tarikh tersebut,” katanya menerusi surat maklumat pemberhentian agihan vaksin Sinovac kepada semua PPV di negeri Kelantan bertarikh 13 Julai.
Ketika dihubungi FMT, Zaini mengesahkan perkara itu, sambil memaklumkan pemberian vaksin Pfizer adalah susulan banyak vaksin jenis itu diterima di negeri berkenaan.
Beliau juga menjelaskan, pemberhentian pemberian vaksin jenis Sinovac bagi dos pertama adalah perkara biasa dan selamat.
“Vaksin Sinovac tiada apa-apa masalah, ia selamat, cuma bekalan Pfizer sampai banyak, jadi kita agihkan Pfizer,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan pemberian dos kedua jenis Sinovac akan diberikan seperti dijadualkan.
Terdahulu, tular surat penamatan pemberian vaksin jenis Sinovac kepada PPV di Kelantan dan pelbagai andaian dibuat.
Setakat semalam, sebanyak 284,148 dos pertama dan 198,139 dos kedua vaksin diberikan kepada penduduk Kelantan.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/15/kelantan-guna-pfizer-bagi-dos-pertama-vaksin/
BACA JUGA : Wanita dakwa payudara membesar lepas suntik vaksin Pfizer