Kegusaran meningkat mengenai keselamatan vaksin AstraZeneca, hanya yang sukarela akan disuntik

Kegusaran meningkat mengenai keselamatan vaksin AstraZeneca, hanya yang sukarela akan disuntik

Vaksin AstraZeneca akan diberikan secara sukarela menerusi pusat pemberian vaksin (PPV) khas, dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan itu diambil selepas menimbangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat ketika ini terhadap tahap keselamatan vaksin berkenaan yang sebelum ini dikaitkan dengan insiden pembekuan darah yang jarang berlaku di beberapa negara.

Beliau berkata, satu sistem tempahan secara ‘siapa cepat dia dapat’ akan dilaksanakan selain tiada had.

“Kita ambil perhatian dengan kegusaran pelbagai pihak terhadap pengambilan vaksin keluaran AstraZeneca.

“Dalam hal ini, saya dan Dr Adham (Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba) sudah berbincang dengan teliti mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca.

“Kita tidak mahu membazir tetapi memahami dalam keadaan hari ini mungkin sains dan fakta tidak dapat mengatasi kebimbangan orang ramai dan berita palsu,” katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19, hari ini.

Justeru, katanya, pihaknya bersetuju dengan satu langkah proaktif yang membolehkan negara terus menggunakan vaksin AstraZeneca dan pada masa sama dapat mengatasi ketakutan orang ramai.

Khairy berkata, kesemua 268,800 dos vaksin keluaran AstraZeneca yang sudah diterima Sabtu lalu akan mula diberikan secara sukarela di Selangor dan Kuala Lumpur melalui PPV khas.

Beliau berkata, pihak Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) membuat pertimbangan sedemikian berikutan bilangan kes di Selangor dan Kuala Lumpur masih lagi tinggi.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, semalam untuk negeri itu menyediakan PPV khas bersesuaian bagi tujuan berkenaan selain pihaknya mencari kemudahan sama di Kuala Lumpur.

“Sela masa untuk pemberian vaksin itu juga adalah selama 12 minggu, selepas perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham) sama dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta yang diamalkan di United Kingdom.

“Tempoh itu membolehkan pemberian dos pertama kepada lebih ramai orang dan kita menjangkakan bekalan tambahan vaksin AstraZeneca akan sampai pada Mei ini untuk kita memberi dos kedua,” katanya.

Beliau berkata, tawaran juga sudah dimaklumkan kepada kerajaan Sarawak berikutan kebimbangan negeri itu untuk menjalankan Pilihan Raya Negeri (PRN) serta mana-mana negeri yang mahu melengkapkan pemberian vaksin AstraZeneca dalam tempoh tertentu.

Katanya, beliau sudah memberi jaminan kepada kerajaan Sarawak bahawa proses pelalian di negeri itu diselesaikan selewat-lewatnya Ogos.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/811615/vaksin-astrazeneca-tidak-akan-diberi-dalam-program-vaksinasi

COMMENTS