Kecoh bila pesakit positif Covid-19 datang PPV untuk suntik vaksin. Proses pemberian vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Serdang, terhenti beberapa jam selepas seorang individu positif Covid-19 didapati hadir ke pusat berkenaan.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam satu kenyataan berkata, individu itu mempunyai janji temu dan hadir di MIECC.
Kenyataan itu menyebut, individu itu hanya mengetahui bahawa beliau positif Covid-19 selepas tiba di PPV berkenaan apabila dihubungi pusat perubatan yang menjalankan ujian Covid-19 terhadapnya beliau.
“Pihak pengurusan MIECC sudah mengambil tindakan serta-merta untuk mengasingkan wanita itu.
“Aktiviti sanitasi menyeluruh juga terus dibuat oleh bomba dan operasi PPV disambung semula sejurus sahaja urusan sanitasi selesai,” katanya.
Sehubungan itu, CITF mengingatkan semua penerima vaksin berjadual untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak hadir ke PPV sehinggalah keputusan ujian saringan Covid-19 disahkan negatif.
Pada masa sama, CITF menafikan ada kes wanita bergelang merah jambu yang membawa ibunya hadir di PPV MIECC hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial memuat naik video di sebuah PPV yang tidak dinyatakan, mengenai sikap seorang penerima vaksin yang hadir mendapatkan vaksin dan hanya memaklumkan bahawa dirinya positif Covid-19 ketika dibawa ke tempat menunggu.
Pengguna berkenaan, dipercayai bertugas di PPV itu, menyatakan berikutan itu pusat berkenaan terpaksa disanitasi terlebih dahulu sebelum proses vaksinasi dimulakan semula.
Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/727766/proses-vaksinasi-terhenti-selepas-penerima-disahkan-positif-covid-19