Kebebasan media : Faiz sifatkan kerajaan PN seolah-olah autokratik

Kebebasan media : Faiz sifatkan kerajaan PN seolah-olah autokratik

Tindakan kerajaan PN yang berterusan menggantung Parlimen dan mengubal atau meminda undang-undang tanpa kelulusan Parlimen dengan mengeksploitasi proklamasi darurat bukan sahaja tindakan yang tidak demokratik malah melanggar Perlembagaan Persekutuan. Sudahlah proklamasi darurat tidak dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan, malahan beberapa undang-undang lain turut digubal atau dipinda termasuk penggunaan kantung negara seperti KWAN tanpa melalui proses yang dikehendaki Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan seolah-olah fungsi asas sistem pembahagian kuasa antara legislatif dan eksekutif tidak lagi dihormati.

Keadaan ini meletakkan negara seolah-olah dalam keadaan pemerintahan autokratik walaupun tiada darurat besar yang berlaku dalam negara samaada dari sudut keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam sepertimana kehendak Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Alasan darurat untuk mengawal pandemik Covid-19 ternyata meleset ekoran kes yang semakin meningkat berbeza negara serantau lain yang mampu mengawal wabak ini walaupun tanpa proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen.

Imej Malaysia sekarang bukan sahaja tercalar ekoran proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen, tetapi tindakan negatif kerajaan mengawal kebebasan media dan menggunakan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1984 dan Akta Hasutan 1948 termasuk menyekat kebebasan berekspresi melalui karya telah meletakkan indeks kebebasan media jatuh 18 anak tangga ke tangga 119 menurut laporan Reporters Without Borders (RSF) 2021. Lebih memalukan, kedudukan indeks tersebut lebih buruk berbanding negara-negara terkebelakang dalam aspek demokrasi dan ekonominya seperti Zambia (ke-115), Guatemala (ke-116), Gabon (ke-117), dan Congo (ke-118).

Kerajaan PH sebelum ini telah menunjukkan kesungguhan dan kehendak politik (political will) untuk memulihkan kebebasan media yang teruk dikawal kerajaan BN sebelum 9 Mei 2018. Ini dapat dilihat melalui beberapa tindakan yang dilakukan seperti pemansuhan Akta Berita Tidak Benar pada 2018 dan akses tanpa sekatan yang diberikan kepada semua pihak termasuk parti pembangkang di dalam media massa. Pemulihan kebebasan media ini kemudiannya dibuktikan dengan kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Kebebasan Media Malaysia apabila pada tahun 2018 hingga 2020, kedudukan Indeks Kebebasan Media Negara mencatat kenaikan iaitu daripada kedudukan daripada 145 di zaman BN ke tangga 101 di zaman PH.

Oleh itu bagi memulihkan kebebasan media di Malaysia, kerajaan perlu berani untuk melaksanakan tindakan-tindakan penting dan signifikan termasuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, meminda Akta Komunikasi Multimedia 1998, dan memansuhkan Ordinan Darurat berkaitan berita palsu. Pemansuhan dan pindaan undang-undang ini adalah amat penting untuk mengembalikan kebebasan media di Malaysia sepertimana dinikmati sebelum ini. Selain itu, kerajaan juga perlu menunjukkan kesungguhan untuk melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi memulihkan kebebasan media di dalam negara.

FAIZ FADZIL

Sumber:

COMMENTS