Katak-katak politik tidak boleh dibiarkan hidup!

Katak-katak politik tidak boleh dibiarkan hidup!

SEJAK kebelakangan ini negara dihidangkan semula dengan adegan ‘lompat parti’ oleh ahli politik, samada dipihak kerajaan atau pun pembangkang. Setiap kali timbul kejadian lompat parti oleh ahli-ahli parlimen atau ahli dewan udangan negeri, kita akan mendengar pelbagai reaksi diberikan oleh pelbagai pihak. Bagi parti politik yang terlibat, mereka akan memberi hujah justifikasi kepada tindakan itu manakala wakil rakyat yang terlibat juga ada hujah mereka yang tersendiri. Selama ini seluruh negara dan rakyat jelata terpaksa menelan segala alasan yang diberikan oleh mereka yang terlibat itu kerana ianya ‘legally right berdasarkan peruntukan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

Kepada parti asal yang ditinggalkan oleh wakil-wakil rakyat yang melompat itu, mereka pastinya merasa ‘dikhianati’. Apa tidaknya, jentera, tenaga dan wang ringgit telah dibelanjakan untuk memenangkan calon-calon parti semasa Pilihan Raya Umum (PRU). Dari pandangan parti, calon tanpa sokongan parti tidak akan menang dan pengundi dimobilisasi oleh parti untuk memilih calon-calon yang dipertaruhkan oleh parti. Oleh yang demikian, mana-mana kerusi yang dimenangi oleh sesebuah parti adalah ‘hak milik’ parti berkenaan dan mesti dikembalikan kepada parti sekiranya seseorang wakil rakyat itu telah melompat kepada parti lain.

Dari sudut wakil rakyat yang melompat, hujah mereka biasanya berlegar kepada usaha untuk memberi khidmat’ yang lebih baik kepada pengundi mereka. Hujah ini biasanya diberikan oleh wakil rakyat daripada parti pembangkang yang melompat kepada parti yang memimpin kerajaan semasa. Kepada mereka ini, mandat yang diberikan oleh rakyat semasa pilihan raya ialah seumpama sekeping kertas cek kosong, dimana wakil rakyat itu tadi bebas untuk melakukan apa sahaja keputusan demi kepentingan rakyat. Mereka merasakan bahawa kemenangan dalam PRU bukan disandarkan kepada parti, sebaliknya adalah kerana populariti seseorang calon. Oleh itu, adalah menjadi hak mereka untuk menentukan blok parti mana yang akan mereka sertai bagi sesuatu penggal parlimen.

Persoalan lain yang timbul akibat tindakan itu juga berkait dengan pemilikan kerusi yang disandang itu yang tentunya menimbulkan ketegangan antara pihak-pihak terlibat. Oleh kerana negara kita tidak mempunyai undang-undang khusus mengenai amalan melompat parti, apa yang menjadi amalan ialah wakil-wakil rakyat yang melompat parti ‘membawa’ kerusi yang mereka menang kepada parti baru mereka sertai. Kepada parti asal yang ditinggalkan, perkara ini amat tidak adil dan dirasakan mengkhianati mandat yang diberikan oleh pengundi.

Apatah lagi jika amalan lompat parti tersebut mengakibatkan berlakunya pertukaran kerajaan sama ada pada peringkat negeri mahupun negara sepertimana yang telah berlaku di negara kita pada penghujung Februari 2020 yang lalu. Kesannya, mandat rakyat melalui proses demokrasi PRU tidak dapat disempurnakan, dan seterusnya kerajaan baru yang dibentuk juga terdedah kepada kemungkinan kejadian yang sama. Akibatnya, kita menyaksikan keadaan politik yang sangat tidak stabil dan memberi kesan kepada ekonomi, fungsi kerajaan dan segala aspek kehidupan rakyat.

Akibat perbuatan melompat tersebut, pengundi mendapat kerajaan yang bukan pilihan mereka’. Perkara ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menyampaikan ucapan ‘perutusan’ sulong beliau semasa permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0) akibat pandemik Covid 19.

Kembali kepada soal fundamental, isu siapa sebenarnya pemegang hak milik kepada sesebuah kerusi, adakah parti atau wakil rakyat yang menang? Jika soalan ini diajukan kepada sesiapapun, jawapan yang kita akan perolehi secara majoritinya adalah milik parti’. Dalam sistem politik yang diamalkan selama ini di negara kita, pengundi biasanya tidak akan mengetahui siapa calon yang akan diletakkan di kawasan parlimen atau Dewan Undangan Negeri mereka sehinggalah hari penamaan calon. Sebelum PRU, pengundi diajak dan dididik untuk bersimpati dan menyokong parti, bukan individu.

Sistem elektoral yang berasaskan individu dan tidak berdasarkan parti terbukti gagal mewujudkan perpaduan selepas PRU diadakan seperti mana yang berlaku di Papua New Guinea. Sebab itulah maka negara klasik demokrasi seperti Amerika Syarikat dan Britain, institusi parti masih menjadi teras yang amat kuat dan masih digunakan.

Jika dipersetujui bahawa ‘hak milik’ sesebuah kerusi adalah milik parti dan bukannya individu, jelas bahawa aspek undang undang perlu dipinda untuk mengembalikan keadilan kepada parti politik. Berlindung di sebalik ungkapan ‘legally right but morally wrong’ seperti amalan kita sekarang sebenarnya membawa kita kepada bersikap tidak adil terhadap parti dan mendorongkan lebih banyak amalan lompat parti berlaku pada masa akan datang.

Kita perlu mengelakkan negara kita daripada menduduki rekod teratas daripada amalan kotor dan tidak bertanggungjawab ini. Jangan biarkan Malaysian dikenali sebagai negara “tidak ada prinsip’ dan dipenuhi oleh katak-katak politik. Amalan melompat parti mesti diharamkan menerusi perundangan! Negara boleh menimbangkan untuk samada memperkenalkan Akta Anti Lompat Parti, sebagaimana diamalkan oleh beberapa negara, dengan contoh terdekat Singapura, atau aturan juga boleh dibuat melalui pindaan kepada peraturan-peraturan perjalanan pilihanraya didalam Akta Pilihanraya.

Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose
Presiden
Majis Profesor Negara

Berita penuh :https://malaysiagazette.com/2021/03/04/jangan-biarkan-malaysia-dipenuhi-katak-katak-politik/?fbclid=IwAR0harMhhq5lLRvPgo_m2ax3IMrVV5POGtaHk2h7tM_Y5X61Co-nEwbHWg4