Kartel Daging : SPRM intai syarikat ternama yang mungkin terlibat

Kartel Daging : SPRM intai syarikat ternama yang mungkin terlibat

Syarikat ternama mungkin terbabit dalam isu kartel penyeludupan daging sejuk beku ke Malaysia, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan itu dan siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi membuktikan pembabitan pihak tertentu dalam kes kartel daging tersebut.

“Sekiranya ia sudah membabitkan kartel seperti yang didakwa, kami percaya mesti ada ‘taikun’ atau syarikat ternama yang terbabit dalam perkara ini. SPRM akan siasat dan tiada sesiapa akan terlepas.

“Bagaimanapun, nama syarikat atau taikun yang dipercayai terbabit tidak dapat didedahkan kerana ia masih dalam peringkat siasatan,” lapor Bernama.

Azam berkata demikian dalam satu program bual bicara terbitan sebuah televisyen swasta, NTV7, hari ini.

Menurutnya, tidak adil jika nama syarikat itu didedah kerana kes masih dalam siasatan, manakala dakwaan pembabitan dalam kartel atau pengimportan daging secara haram juga hanya berdasarkan laporan media.

Sebelum ini gempar apabila taktik kartel menyeludup daging sejuk beku dari luar negara terbongkar.

Modus operandi kartel itu ialah membungkus semula daging tersebut dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Penyeludupan daging yang didakwa dikuasai kartel itu melibatkan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya.

Dikatakan, kartel daging tersebut ‘membeli’ beberapa pegawai kanan agensi kerajaan tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Pegawai terbabit dipercayai dirasuah dengan wang ringgit dan habuan berlibur sebagai dorongan melepaskan barangan yang diimport, tanpa mengikut peraturan ke pasaran negara ini.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/siapa-syarikat-ternama-di-sebalik-kartel-daging-import/