Kartel daging perbuatan keji dan hina buat umat Islam – Anwar

Rakyat Malaysia dan umat Islam tidak wajar memaafkan isu kartel daging yang jelas merupakan “perbuatan celaka”, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Jelasnya, apa yang berlaku itu membabitkan soal halal yang mana kelulusannya dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini paling keji dan hina bagaimana darah daging umat itu diceroboh, ini soal halal, bukan isu kementerian pertanian, yang bagi cop halal itu Jakim, jadi harus bertanggungjawab.

“Saya fikir rakyat Malaysia dan umat Islam tidak wajar memaafkan kecelakaan dan kesialan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis peluncuran buku “100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011”, di Shah Alam, hari ini.

Setelah dibangkitkan di Parlimen awal bulan lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan kes kartel import daging haram yang dikatakan berlaku di Senai, Johor baru-baru ini, sedang dalam proses siasatan.

Media pada 21 dan 22 Disember melaporkan bahawa kartel itu dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi-agensi kerajaan untuk membawa daging-daging ke dalam negara kononnya sebagai daging yang berstatus halal.

Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal.

Pada 26 Disember lalu, Presiden PKR itu menyifatkan pendedahan berhubung kartel daging yang didakwa turut didalangi kakitangan agensi kerajaan sebagai “kebobrokan” yang perlu dihentikan.

“Saya juga mendesak kerajaan dan kementerian untuk segera menjalankan siasatan rapi, cekap, dan telus serta mengheret dalang ke muka pengadilan,” katanya pada satu kenyataan.

Dalam pada itu Anwar berkata perlu ada tekad politik untuk memberi jawapan terhadap isu berkenaan selain memberi tumpuan kepada pihak yang mempergunakan agama.

“Harus ada tekad politik untuk memberi jawapan segera dan memumpukan pada orang-orang yang menggunakan agama,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/556897

COMMENTS

Wordpress (0)