Kartel dadah di Malaysia dikhuatiri pengaruhi PDRM, ahli politik

Pada tahun ini sahaja sebanyak 221 sindiket dadah ditumpaskan di seluruh negara yang ada antaranya diketuai golongan VIP bergelar ‘Datuk’.

Individu kaya yang bergelar jutawan dalam masa singkat selepas hanya dua tiga tahun menceburi bidang perniagaan juga dipercayai mengetuai sindiket itu.

Kartel dadah di Malaysia dikhuatiri pengaruhi PDRM, ahli politik

Memetik laporan Malaysiakini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain menyuarakan kebimbangannya terhadap pemain ekonomi gelap (black economy players) atau lebih dikenali sebagai ‘kingpin’ yang berselindung di sebalik perniagaan ‘bersih’ untuk mengedar dan menjual dadah.

Melihat dari situasi yang membimbangkan ini, timbul persoalan adakah suatu hari nanti negara bakal mempunyai ‘raja dadah’ seperti Pablo Escobar yang merupakan pengedar dadah Colombia terkaya dan memonopoli perdagangan kokain sehingga mempengaruhi agensi penguatkuasaan undang-undang.

Dalam temubual ekslusif Bernama di Bukit Aman baru-baru ini, Datuk Razarudin Husain berkata, “Pada tahun ini sahaja kami berjaya menumpaskan 221 sindiket dadah dan ada antaranya diketuai oleh golongan VIP berpangkat ‘Datuk’ serta individu yang baru sahaja memulakan perniagaan dalam tempoh dua atau tiga tahun tetapi sudah menjadi jutawan dalam masa singkat.

“Kerajaan menanggung kerugian ratusan juta setiap tahun berikutan sindiket ini tidak membayar cukai kerana mereka ini adalah black economy players yang berselindung dalam aktiviti sebenar perniagaan iaitu menjual dadah.”

Mengulas lanjut, beliau berkata kewujudan pemain ekonomi gelap atau ‘kingpin’ ini dikhuatiri akan ‘meresapi’ ke peringkat PDRM atau ahli politik yang boleh memberi impak kepada negara.

Walaubagaimanapun, beliau menegaskan akan sentiasa memastikan perkara itu tidak berlaku dan akan terus memperhebatkan risikan dan operasi dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

“Setakat ini berdasarkan maklumat risikan dan pemantauan, sindiket dadah ini belum lagi mampu menanam pengaruh mereka pada institusi kerajaan dan ahli-ahli politik.

“Mungkin ada seorang atau dua pegawai PDRM yang terbabit dengan kingpin ini tetapi mereka telah diambil tindakan dan saya melihat pegawai dan anggota gigih bekerja serta berintegriti tinggi,” katanya.

Datuk Razarudin Husain yang menerajui JSJN Bukit Aman turut memaklumkan jumlah penagih yang direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan pada tahun lepas adalah 130,000 orang dalam lingkungan umur 18 hingga 45 tahun dengan purata seorang penagih dalam lapan keluarga.

Bagi memulihkan seorang penagih dadah, kerajaan perlu membelanjakan RM45 sehari dan ini menyebabkan kerugian kepada negara, ujarnya lagi.

“Bayangkan jika tidak dibendung, dalam tempoh 10 tahun nanti jumlah penagih dadah boleh mencatat sehingga tiga juta.”

BACA JUGA : ‘Pertembungan terhebat Melayu’ buka tirai PRN Melaka
Kalah pemilihan Pas, ini respon Khairuddin dan Nik Abduh

CATEGORIES