Kapal pertama LCS siap dalam setahun dua – Hishamuddin. Kapal pertama daripada enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata buat masa ini beliau tidak dapat memberi tempoh sebenar bagi kapal LCS untuk siap sepenuhnya kerana Kabinet memberi tempoh enam bulan kepada kementeriannya memobilisasi usaha untuk menghidupkan semula projek pembinaan kapal berkenaan.
Hishammuddin berkata, langkah itu memerlukan libat urus dengan vendor termasuk di Perancis dan agensi perbankan.
“Saya boleh nyatakan dalam masa setahun dua ini, saya harap bahawa jelas kapal pertama akan dapat kita siapkan dan saya akan laporkan kepada orang ramai jadual berperingkat kapal yang kita janjikan kepada TLDM ini.
“Saya akan maklumkan kepada Kabinet apa yang kita sudah lakukan untuk memastikan pada kali ini, insya-Allah, ia mengikut apa yang dijadualkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris (BERSATU) yang bertanya jangka masa bagi kapal LCS dapat disiapkan.
Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Husain Awang (PAS) mengenai langkah penyelesaian yang diambil Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung isu LCS, Hishammuddin sekali menegaskan yang projek itu akan diteruskan bersandarkan kepada keperluan TLDM, selain memastikan ratusan vendor sedia ada, yang kebanyakannya golongan veteran tentera tidak gulung tikar.
Beliau berkata, sesiapa yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sudah memaklumkan bahawa siasatan mengenainya sedang berjalan jika wujud unsur penyelewengan serta salah guna kuasa.
“Kerjasama kita kepada PAC sudah ‘total’, di mana kita sudah berdepan dengan PAC lebih 15 kali, bukan saja dalam konteks semasa saya Menteri Pertahanan.
“Kita membabitkan semua pemegang taruh termasuk TLDM, MINDEF, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kewangan dan Kabinet sendiri untuk memastikan perkara pokok iaitu kapal kita sampai kepada TLDM serta cara bagaimana kita dapat membela vendor veteran kita supaya mendapat hasilnya.
“Saya tahu, banyak kelemahan juga. Saya kecewa dan ramai yang kecewa tapi kita mesti lihat ke hadapan, mencari keadilan dan memastikan kapal ini dapat dibekalkan serta mencari jalan terbaik supaya perkara ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah MINDEF, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.
Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) yang dilaksanakan secara runding terus namun tiada kapal yang diterima setakat ini.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.
BACA:
Inflasi makin buruk, KFC di China masukkan kaki ayam dalam menu
Reaksi laju penari selamatkan Aina Abdul dari tergolek jadi perhatian
Waspada dengan gula-gula bergelatin babi ini, ada di pasaraya terkenal