Kanak-kanak 5 hingga 11 tahun kini sudah boleh divaksin

KKM

Kanak-kanak 5 hingga 11 tahun kini sudah boleh divaksin.Kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun kini boleh menerima vaksin Covid-19 selepas kelulusan pendaftaran bersyarat diberikan kepada produk vaksin COMIRNATY 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat menerusi

Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang hari ini berkenaan pendaftaran produk vaksin Covid-19.

“COMIRNATY 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection adalah vaksin COMIRNATY yang diluluskan untuk imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

“Sediaan ini mempunyai kekuatan lebih rendah berbanding vaksin COMIRNATY yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain vaksin tersebut, kelulusan pendaftaran bersyarat turut diberikan kepada COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection.

Katanya, bagi COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection pula merupakan vaksin COMIRNATY dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan sebelum administrasi serta mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada (satu bulan) apabila disimpan pada suhu dua darjah celsius hingga lapan darjah celsius setelah dinyah beku.

“Indikasi COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi Covid-19 kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas. Pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin COMIRNATY tersebut adalah Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. dan dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, PBKD juga memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection sebagai dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas.

Katanya, ia mempunyai selang masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin yang sama.

“Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah Solution Biologics Sdn. Bhd. dan ia dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc., China.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat risiko bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” ujarnya.

BACA:

10 kes Omicron di Kedah
Isu saham : Azam Baki dilapor bakal heret pemilik Twitter ‘Edisi Siasat’ ke muka pengadilan
Dr Mahathir dedah kisah pencuri Melayu Islam

Artikel ini disiarkan pada 06/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)