Kain kafan dikibar sebagai bendera putih oleh Orang Asli.Penduduk Kampung Orang Asli Desa Kemandul, Jenjarom, di sini menjadikan kain kafan sebagai bendera putih yang kemudian dikibarkan di jambatan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dekat Banting di sini.
Ia sebagai isyarat meminta bantuan yang meraih perhatian sukarelawan Pertubuhan Peduli Ummah (Si Peduli) untuk tampil menghulur bantuan makanan dengan segera.
Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, Mohd Shazmiel Abdul Hamid, 33 berkata, dia bersama tiga rakan,
Muhammad Syafie Zainuddin, 30; Mohd Shariel Tolleng, 36, dan Mohd Safuddin Samat, 35, menemui wakil penduduk kampung terbabit pada 6.30 petang semalam.
“Kami menerima maklumat mengenai adanya bendera putih itu daripada orang awam yang lalu di kawasan berkenaan, dan segera bertindak dengan membawa bekalan makanan dari markas kami di Bandar Saujana Putra.
“Semua bekalan diagihkan cukup untuk 23 keluarga dan dalam pertemuan singkat itu, wakil penduduk itu mengaku bendera dikibarkan itu dibuat menggunakan lebihan kain kafan.
“Mereka juga berkata tidak tahu hendak meminta pertolongan selepas Tok Batin dirawat di hospital kerana jangkitan Covid-19,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Mohd Shazmiel, dia tidak menerima maklumat terperinci berhubung jumlah sebenar penduduk yang terkesan kerana hanya pertemuan dan agihan dibuat di jambatan dan tidak dapat memasuki kawasan penempatan.
“Tapi kami tetap bersyukur dapat membantu ketika tempoh pandemik ini. Bantuan ini juga hasil sumbangan daripada orang ramai.
“Alhamdulillah, saya juga menerima maklumat yang penduduk itu kini sudah menerima bantuan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli dan pemimpin tempatan,” katanya.
Sementara itu, pengurus dan pengendali laman sosial Si Peduli, Muhamad Noor Sharif, 32 berkata, pihaknya turut mengaktifkan laman sosial selaras matlamat untuk membantu seberapa ramai masyarakat yang kurang bernasib baik.
“Ribuan penduduk sekitar Semenanjung sudah dibantu setakat ini dan banyak juga kisah menyayat hati hasil aduan serta perkongsian pemohon termasuklah, kisah bendera putih di jambatan ini yang sampai tahap menggunakan lebihan kain kafan,” katanya.
Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/07/730249/kain-kafan-jadi-bendera-putih-orang-asli-kesusahan