Kadir Jasin dakwa tak pelik Anwar-Zahid ada pakatan sulit, mereka kawan lama

Kadir Jasin dakwa tak pelik Anwar-Zahid ada pakatan sulit, mereka kawan lama

“Apa yang hendak dihairankan sangat jika Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus berunding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sulit,” kata Tokoh Wartawan Nasional, Datuk A. Kadir Jasin.

Malah kata beliau sama ada rakaman suara yang tular di media sosial itu palsu seperti yang didakwa oleh Anwar dan Ahmad Zahid atau tulen seperti dipercayai oleh banyak orang, realitinya Anwar dan Zahid adalah kawan lama.

Ujar A. Kadir lagi, mana-mana pemerhati yang telah lama mengikuti perjalanan politik Anwar dan Zahid tidak akan terperanjat jika mereka kembali berpakat.

” Sama ada rakaman suara yang didakwa membabitkan dua watak itu tulen atau palsu, bagi saya tidaklah terlalu penting. Demikian jugalah penafian mengenainya oleh Ahmad Zahid dan Anwar,” tegas beliau.

Menurut A. Kadir, kalau ditakdirkan Anwar naik menjadi Perdana Menteri dengan sokongan Zahid dan Ahli-ahli Parlimen UMNO dalam Kluster Mahkamah, harapan mereka “bebas” daripada tuduhan jenayah atau mendapat pengampunan adalah lebih cerah berbanding sekarang kerana Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md. Yasin (Muhyiddin) telah dilaporkan oleh media massa sebagai berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan kehakiman.

” Apa yang hendak dihairankan sangat jika Zahid terus berunding dengan Anwar secara sulit. Mudah bagi perwakilan dan akar umbi UMNO berkata “no Anwar, no DAP, no Bersatu” kerana bukan mereka yang sedang dibicarakan dan mungkin masuk jel.

“Yang sedang dibicarakan dan berkemungkinan masuk penjara adalah Kluster Mahkamah, termasuk Zahid,” dakwa A. Kadir dalam catatan di Facebooknya.

Beliau turut menyingkap sejarah gandingan politik Anwar-Zahid yang sudah menjangkau puluhan tahun.

Katanya, Zahid adalah antara pengikut terawal dan terpenting Anwar dalam UMNO. Malah Zahid adalah protégé – anak didik – Anwar.

A. Kadir berkata, dipantaskan ke hadapan, Zahid adalah baji yang menyebabkan retak menjadi belah dalam perhubungan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar pada tahun 1998.

” Boleh jadi sudah tidak banyak orang ingat ucapan “kronisme dan nepotisme” Zahid di Perhimpunan Agung Pemuda Umno tahun 1998 yang ditujukan kepada Dr Mahathir.

“Ia berlaku pada saat-saat kedudukan Anwar sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan sedang diancam oleh tuduhan kegiatan homoseksual dan perbezaan pendapat dengan Dr Mahathir mengenai cara menangani Krisis Mata Wang Asia 1997-98.

” Pendapat umum ketika itu adalah mustahil Zahid berani menuduh Dr Mahathir mengamalkan kronisme dan nepotisme tanpa sokongan atau dorongan Anwar kerana dia (Ahmad Zahid) sendiri sedang menyacak naik dalam dunia korporat dengan menguasai beberapa buah syarikat senaraian Bursa Malaysia.

” Dr Mahathir membalas tuduhan itu dengan mengarahkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menyiarkan nama semua penerima projek penswastaan, kontrak besar dan konsesi kerajaan tanpa mengira bangsa.

“Kalau pun bukan majoriti tetapi ramai daripada yang tersenarai itu adalah mereka yang rapat dengan Anwar,” ujarnya.

Menurut beliau lagi,apabila seorang pembantu Anwar membuat aduan polis terhadap “surat layang” yang dihantar oleh Ummi Hafilda kepada Dr Mahathir pada tahun 1997, isu di antara Anwar dan bosnya menjadi bertambah kusut.

Jelasnya, selama lebih setahun Dr Mahathir secara terbuka menyifatkan kandungan surat adik kepada Datuk Seri Azmin Ali itu sebagai fitnah dan ini dilaporkan secara meluas oleh media massa arus perdana waktu itu. Azmin ketika itu adalah orang kanan Anwar.

“Apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan kemudian daripada Umno pada bulan September 1998, Zahid mempunyai pilihan sama ada menyertai Anwar atau kekal dalam UMNO. Tapi ada “catch” (syarat) iaitu kalau dia menyertai Anwar, dia mungkin kehilangan aset yang dipegang atau dimilikinya. Zahid memilih untuk kekal bersama UMNO.

” Itu dulu. Sekarang keadaan sudah terbalik. Kalau pada tahun 1998 Anwar berdepan dengan mahkamah dan penjara, sekarang giliran Zahid pula,” kata beliau.

Kata A. Kadir, penafian Zahid itu mungkin tidak meyakinkan banyak pihak kerana dia (dan Datuk Seri Najib Abdul Razak) pernah menulis surat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri Oktober lalu.

Berita penuh : https://suara.tv/08/04/2021/anwar-dan-zahid-memang-kawan-lama-tak-pelik-ada-pakatan-sulit-a-kadir-jasin/

COMMENTS