Kadar pengangguran meningkat 5.3 peratus – Menteri

Data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran Malaysia meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei lalu berbanding 5.0 peratus, pada April lalu.

Sementara julat maksimum kadar pengangguran pula dianggarkan kira-kira 3.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan memberitahu, antara sektor pekerjaan yang paling terjejas adalah sektor pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan dan tidak terkecuali golongan bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga atau pengusaha kecil-kecilan.

Kumpulan pekerja di sektor itu katanya, terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP).

“Sementara itu, data mengenai jangkaan pasaran buruh Jun 2020 mendapati indikator ekonomi bagi Mei lalu berbanding April 2020 menunjukkan ekonomi sedang beransur pulih,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) mengenai unjuran kadar pengangguran negara dan anggaran jumlah penduduk yang menganggur sehingga akhir tahun ini.

Saravanan memberitahu, di sebalik trend negatif dalam penawaran tenaga buruh hingga Mei lalu, keadaan ini telah bertambah baik jika dibandingkan dengan April 2020.

“Ini adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan bagi mencapai sasaran tertentu,” jelasnya.

Antara lain kata Saravanan, lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membantu menurunkan bilangan penganggur.

Tambahan pula, jelasnya, setelah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mula berkuat kuasa pada 10 Jun 2020 yang lalu, keadaan ekonomi telah memperoleh kembali momentum, seterusnya dijangka dapat mengekalkan pekerjaan, mewujudkan pekerjaan baharu dan mendorong pengambilan pekerja.

“Selaras dengan perkembangan ini, dalam jangka masa pendek, situasi tenaga buruh pada Jun lalu dilihat bertambah baik, manakala dalam tempoh jangka sederhana hingga separuh kedua tahun 2020, pasaran buruh dijangka terus mengukuh.

“Ini terbukti apabila sehingga 2 Jun lalu, DOSM mendapati lebih 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lalu,” tambahnya.

Berita penuh :

https://beta.astroawani.com/berita-malaysia/kadar-pengangguran-meningkat-53-peratus-saravanan-251961