Kabinet setuju moratorium bank ‘interest-free’ 3 bulan sebagaimana dituntut PH dalam MoU

KABINET bersetuju supaya bank memberi pengecualian bayaran faedah kepada penerima moratorium pinjaman bank sebagai sebahagian perjanjian persefahaman kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Kementerian Kewangan juga mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

“Ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50% terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Kabinet setuju moratorium bank 'interest-free' 3 bulan sebagaimana dituntut PH dalam MoU

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata Kabinet setuju bank beri pengecualian bayaran faedah kepada penerima moratorium pinjaman bank. 

Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Jumaat lepas (10 September) juga setuju meningkatkan had siling Kumpulan Wang Covid-19 dan had statutori hutang kerajaan, kata Tengku Zafrul.

Had siling dana Covid-19 ditambah sebanyak RM45 bilion menjadi RM110 bilion manakala had statutori hutang kerajaan dinaikkan 5% kepada 65%.

Perubahan itu akan dilaksanakan melalui pindaan ke atas Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019), yang akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada Oktober.

Tambahan RM45 bilion dana Covid-19 merupakan tuntutan khusus PH sejak tahun lepas.

Semalam, PH memeterai memorandum persefahaman (MoU) transformasi dan kestabilan politik dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang merangkumi antara lain pemerkasaan pelan Covid-19.

Sebagai timbal balasnya, PH tidak akan menolak kerajaan dalam undian kritikal di Dewan Rakyat termasuk belanjawan sementara kerajaan mengusahakan beberapa pembaharuan yang dicadangkan oleh PH sebelum ini.

Kerajaan juga setuju untuk tidak membubarkan Parlimen sebelum Julai 2022.

MoU itu bagaimanapun tidak menjejaskan peranan pembangkang untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.

Zafrul hari ini berkata Belanjawan 2022, yang akan dibentang 29 Oktober, akan dirangka untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi.

MoU yang ditandatangani semalam juga mensyaratkan kerajaan berunding dengan PH semasa menggubal cadangan belanjawan.

Sumber :

BACA JUGA : Ini 9 perkara yang perlu difahami tentang MoU kerajaan, PH

COMMENTS