Kabinet yang dibentuk Tan Sri Muhyiddin Yassin ini adalah Kabinet Kerajaan Pintu Belakang. Ianya sebuah kerajaan yang menafikan pilihan rakyat secara tidak berakhlak dan tidak bermoral. Rakyat telah memilih kerajaan PH.
Kesahihan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ini masih dipertikai. Oleh itu kesahihan kerajaan dari segi undang-undang tetap diragui. Ianya perlu diuji di Parlimen melalui usul undi tidak percaya dengan kadar seberapa segera.
Barisan Kabinet yang dibentuk jelas bertujuan memuaskan kehendak parti-parti yang menyertai usaha pakatan ini dengan diwujudkan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri yang ramai. Terdapat 70 jawatan termasuk PM berbanding hanya 55 di bawah kerajaan Pakatan Harapan dahulu. Ianya Kabinet di mana semua mendapat habuannya.
Kabinet ini juga tiada hala-tuju dan dasar yang jelas yang ingin diperjuangkan, selain untuk menjatuhkan PH dan menjadi kerajaan. Tiada apa-apa manifesto yang memandu kabinet ini.
Kerajaan yang ditubuhkan ini akan menjadi kerajaan yang diperalat kleptokrat dan pengkhianat. Ia akan merongkai kembali apa sahaja kebaikan yang telah dilaksanakan PH sebelum ini.
Komposisi Kabinet ini juga tidak langsung membayangkan komposisi kaum di Malaysia. Ini adalah kerana ianya terdiri dari golongan pengkhianat dan kleptokrat yang berkerjasama untuk kepentingan masing-masing.
KHALID ABD SAMAD
Pengarah Komunikasi AMANAH