Jutaan rakyat rayu saya kekal PM – Muhyiddin

Tiada

Jutaan rakyat rayu saya kekal PM.

Muhyiddin Yassin “redha” berundur sebagai perdana menteri namun mengaitkan keputusan itu kepada tekanan politik ke atasnya oleh pihak yang rakus kuasa dan mahu beliau campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Katanya, “rayuan ikhlas daripada jutaan rakyat” untuknya terus menjadi perdana menteri tidak dapat disambut kerana kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau.

“Saya melakukan pelbagai ikhtiar untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional…tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya dalam perutusan khas yang dipancarkan ke seluruh negara.

rakyat

“Saya tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa,” kata Muhyiddin.

Mulai hari ini, beliau akan bertindak sebagai perdana menteri “caretaker” sehingga kerajaan baharu dibentuk dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menolak tuduhan Muhyiddin itu. Sebaliknya mereka menegaskan Ahli Parlimen Pagoh itu harus memikul tanggungjawab atas kegagalan kerajaan pimpinannya yang membawa kesengsaraan ke atas rakyat serta krisis ekonomi berpanjangan.

Muhyiddin berkata, jawatan dipikulnya selama 17 bulan lalu bukan “kemegahan” tetapi “bebanan tanggungjawab” khususnya kerana Malaysia dilanda krisis kesihatan awam dan ekonomi paling buruk dalam sejarahnya.

“Saya ingin memohon keampunan daripada saudara-saudari atas segala kekhilafan dan kelemahan saya sepanjang menjadi perdana menteri,” katanya.

Beliau berharap kerajaan baharu dapat dibentuk segera bagi memastikan pentadbiran negara tidak tergendala dan segala perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak terbantut, termasuk sasaran mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober.

“Kekal bertenang. Mudah-mudahan Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih perdana menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.”

Beliau turut meminta rakyat tidak risau terhadap program vaksinasi negara kerana Kabinetnya sudah menempah 87 juta dos vaksin melibatkan peruntukan RM4.36 bilion.

“Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian,” katanya sambil berharap rekod negara sebagai antara vaksinasi harian tertinggi di dunia mesti dikekalkan.

Mengakhiri ucapannya, Muhyiddin turut menitipkan terima kasih kepada isteri tercinta, Noorainee Abdul Rahman yang menjadi sumber inspirasi beliau sehingga ke saat ini, selain barisan kepimpinan Bersatu dan seluruh rakyat.

“Ucapan terima kasih paling istimewa tentunya buat isteri saya yang tercinta dan keluarga saya yang menjadi sumber inspirasi saya sejak dahulu hingga ke hari ini,” katanya.

Muhyiddin membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang bertahan selama 17 bulan dengan sokongan Umno, PAS, MIC, MCA, parti dari Sabah dan Sarawak serta beberapa Ahli Parlimen bebas.

Namun, hubungan Umno-Bersatu (parti pimpinan Muhyiddin) bertambah renggang dan akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinannya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/16/saya-sudah-lakukan-yang-terbaik-untuk-negara-kata-muhyiddin/

BACA JUGA : Gempar !!! Bersatu mesyuarat pilih nak sokong siapa?

COMMENTS

Wordpress (0)