Julai depan baru PN nak bentang RUU Covid-19 di Parlimen

Kerajaan semalam mengumumkan akan mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang berkaitan penularan wabak COVID-19 dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada Julai depan.

Bagi saya, Julai adalah terlalu lewat. Di tambah pula faktor prosedur bagaimana suatu bil akan menjadi undang-undang. Lulus di Dewan Rakyat kemudian perlu di bawa kepada Dewan Negara pula. Maka akan ambil masa berbulan pula.

Kita perlukan akta berkenaan sekarang. Relief dan kuasa yg diperundangkan akan menjadi punca kuasa yang jelas dan jitu bagi segala tindakan khusus menangani pandemik Covid19 ini. Keadaan yg khusus dan tidak pernah berlaku (special and unprecedented) ini memerlukan tindakan pantas dan tepat dari kerajaan.

Tindakan khusus kerajaan dengan punca kuasa yang betul sangat diperlukan sekarang yang tentunya dengan itu, kejadian “U-Turn” yang tidak perlu juga boleh dielakkan.

Perlindungan segera bukan sekadar perlu diberi kepada individu rakyat, akan tetapi perlu merangkumi juga perusahaan dan syarikat kecil atau sederhana yang sudah sangat terjejas dalam jangka 2 bulan ini.

Dengan mahkamah sudah beroperasi, saya sangat khuatir dengan tindakan perundangan besar-besaran ke atas syarikat kecil dan sederhana yang sudah terencat kemampuan mereka membayar tanggungjawab bulanan mereka kepada institusi kewangan mahupun tuan bangunan tempat mereka menyewa atau juga rakanniaga mahupun pembekal (supplier) mereka.

Saya khuatir akan berlaku tindakan penggulungan secara besar-besaran ke atas syarikat atau perusahaan kecil dan sederhana oleh institusi kewangan ke atas mereka yang sedang dalam kesukaran ini. Saya juga khuatir akan berlaku tindakan kebankrapan atau sitaan besar-besaran ke atas ribuan individu yang sudah kehilangan pekerjaan sekarang.

Perlindungan dan pakej pemulihan khusus perlu diluluskan segera kepada golongan ini. Satu moratorium tindakan perundangan ke atas syarikat, perusahaan atau individu terjejas perlu dilihat kerajaan segera.

Atau bagaimana?

Dan kerana itu parlimen perlu bersidang segera secukupnya bagi membentang, membahas dan meluluskan segera akta khusus pandemik covid19.

Cukuplah kita memberi alasan politik kerana takutkan undi tidak percaya. Kita ada masalah yang sangat besar sekarang.

Sumber: