JK Paralimpik Antarabangsa kesal dengan tingkahlaku netizen Malaysia

JK Paralimpik Antarabangsa kesal dengan tingkahlaku netizen Malaysia. Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) menyelar tindakan netizen Malaysia di media sosial selepas badan induk itu membatalkan kemenangan atlet lontar peluru negara Muhammad Ziyad Zolkefli di Tokyo 2020.

Ziyad merangkul emas dengan selepas dua kali memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter, tetapi dibatalkan berikutan bantahan Ukraine kerana lewat masuk ke bilik panggilan.

Atlet Ukraine Maksym Koval diisytiharkan pemenang pingat emas, sekali gus mencetus kemarahan rakyat Malaysia di media sosial.

Bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin yang kini memegang jawatan Menteri Kesihatan, turut sama menyelar tindakan IPC.

“Sesuatu yang amat memalukan dan bertentangan dengan semangat Paralimpik.

“Jika ia melanggar peraturan bilik menunggu, anda tidak sepatutnya membenarkan mereka beraksi langsung.

“Pingat emas dan rekod dunia yang dirampas,” kata Khairy.

Jurucakap IPC, Craig Spence berkata Jawatankuasa Paralimpik Ukraince amat kecewa selepas mendapat kecaman daripada netizen Malaysia di media sosial.

Paralimpik

“Sejak semalam (kelmarin), media sosial kami dibanjiri komen daripada rakyat Malaysia yang saya rasakan tidak masuk akal.

“Anda boleh marah dengan keputusan kami, tetapi saya melihat komen di akaun media sosial kami yang tidak berkaitan langsung dengan acara lontar peluru F20.

“Pingat emas menjadi milik NPC Ukraine, dan mereka juga kini dikecam rakyat Malaysia. Maafkan saya, peraturan tetap peraturan.

“Keputusan sudah dibuat dan ia bukan salah Ukraine apabila atlet Malaysia lewat memasuki bilik menunggu.

“Saya amat kecewa kecaman sebegitu berlaku di media sosial,” kata Spence.

Badan Olahraga Para Dunia (WPA) mengesahkan Ziyad, Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) tiba lewat di bilik menunggu.

Di bawah peraturan badan induk olahraga itu, atlet yang tidak berada dalam bilik menunggu pada waktu ditetapkan, akan dibatalkan penyertaan.

Namun ketiga-tiga atlet dibenarkan beraksi di bawah bantahan sementara pengadil mempertimbangkan alasan kelewatan mereka.

Bagaimanapun tidak ada alasan kukuh di atas kelewatan itu dan rayuan ketiga-tiga atlet berkenaan tidak diterima.

Spence mendedahkan alasan diberika oleh mereka ialah tidak mendengar pengumuman atau ia dalam bahasa yang mereka tidak faham.

“Saya simpati dengan atlet-atlet berkenaan. Jangan salah faham. Saya tahu ada yang berkata kenapa membenarkan mereka beraksi?

“Mengapa membenarkan mereka beraksi, memecahkan rekod dunia dan kemudian membatalkannya?

“Kami tidak mempunyai maklumat penuh sebelum acara. Jadi kami tidak mahu menuduh anda lewat, dan tidak boleh beraksi tetapi kemudian mendapat tahu ada alasan kukuh.

“Sebab itu kami benarkan beraksi di bawah bantahan. Kamu maklumkan kepada pasukan, atlet dan penyiar yang mereka beraksi di bawah bantahan dan mungkin dibatalkan.

“Sebaik melihat bukti, pengadil dan juri membuat keputusan yang mereka lewat tanpa alasan kukuh, jadi ia keputusan mengecewakan buat mereka yang terbabit,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2021/09/858854/ipc-kesal-kecaman-di-media-sosial

BACA: ‘Total lockdown’ di Pulau Pinang dua minggu?