Jika perlu Britain akan kerjasama dengan Taliban, kata Boris Johnson.Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, semalam berkata Britain akan bekerjasama dengan Taliban jika perlu, ketika kumpulan itu kembali menguasai Afghanistan.
“Apa yang saya ingin yakinkan orang ramai adalah usaha politik dan diplomatik kita bagi mencari jalan keluar untuk Afghanistan. Jika perlu kita bekerjasama dengan Taliban jika perlu, maka saya akan teruskan,” kata Johnson kepada wartawan.
Beliau berkata, keadaan di Lapangan Terbang Hamid Karzai Kabul, di mana ribuan warga Afghanistan berkumpul dengan harapan menaiki penerbangan keluar daripada negara itu, sudah semakin baik dan stabil.
“Britain berjaya mengeluarkan kira-kira 2,000 orang, termasuk warga Britain dan Afghanistan yang bekerja dengan negara itu, sejak Khamis lalu,” katanya menurut laporan agensi berita Xinhua.
Awal minggu ini, Pejabat Menteri Dalam Negeri Britain memperkenalkan rancangan penempatan semula dengan menjanjikan untuk mengambil sehingga 20,000 warga Afghanistan dalam jangka panjang, dengan 5,000 orang pada tahun pertama.
Rancangan itu dianggap jauh daripada mencukupi untuk menangani krisis Afghanistan oleh Ahli Parlimen Britain yang bertemu pada sidang Parlimen tergempar Rabu lalu.
Pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) akan bertemu secara maya awal minggu depan, untuk membincangkan keadaan di Afghanistan, ketika perselisihan antara Washington dan sekutu di Eropah semakin meningkat selepas pengunduran tergesa-gesa pasukan tentera AS.
Pada Selasa lalu, akhbar harian Perancis Le Monde berkata, warga Eropah terperangkap dalam pengunduran pasukan AS yang terburu-buru.
Setiausaha Pertahanan Britain, Ben Wallace Jumaat lalu pula berkata, keputusan AS untuk menarik pasukan tenteranya dari Afghanistan adalah satu kesilapan.
Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/08/854049/britain-akan-bekerjasama-taliban-jika-perlu