Jika ordinan darurat tak dimansuh di parlimen, ia kekal 6 bulan lagi

Ahli Parlimen dan senator Pakatan Harapan (PH) perlu mengemukakan dan meluluskan usul untuk memansuhkan semua Ordinan Darurat (OD) yang berkuat kuasa sepanjang enam bulan lalu sebaik Parlimen dibuka semula.

Dalam satu forum dalam talian yang turut disertai Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin hari ini, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee berkata, adalah penting bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang semula selepas 1 Ogos supaya semua OD yang tidak adil dapat dimansuhkan.

Lee, yang juga ADUN Pasir Pinji, memetik Perkara 150 (7) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa OD masih sah selama enam bulan selepas darurat berakhir.

ordinan darurat

“Sekiranya OD ini masih berkuat kuasa walaupun selepas darurat berakhir, kita tidak akan dapat melakukan semak dan imbang yang tepat terhadap kerajaan.

“Satu-satunya cara untuk memansuhkan OD yang tidak adil adalah di bawah Perkara 150 (2C), yang terpakai oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” kata Lee.

Istana Negara sebelum ini berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Parlimen bersidang secepat mungkin untuk membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahas oleh Ahli Parlimen.

Majlis Raja-raja turut mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan bahawa tiada keperluan darurat dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Sementara itu, Shazni turut memberitahu, kerajaan tidak boleh memandang ringan “gerakan bendera putih” atau #BenderaPutih, yang dilancarkan di media sosial.

Gerakan ini bertujuan membantu mereka yang berdepan kesulitan dengan memberi isyarat kepada jiran dan masyarakat bahawa mereka memerlukan bantuan.

“Kami (PH) tidak terlibat dengan kempen ini. Ia adalah satu gerakan sosial semata-mata supaya rakyat saling membantu ketika berdepan waktu sukar ini.

“Sekiranya ada sesiapa, baik jiran, pemimpin masyarakat atau ADUN, melihat bendera putih di luar sebuah rumah, sila tampil membantu mereka,” kata Shazni.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/29/mansuh-ordinan-darurat-atau-ia-sah-selama-6-bulan-lagi-kata-wakil-dap/

BACA JUGA : Kempen kibar bendera putih bantu masyarakat lebih cakna