Jika asyik melompat PRU mengejut pun tiada guna

Berhubung kenyataan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mendakwa dia mempunyai sokongan majoriti anggota Parlimen untuk membentuk kerajaan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegaskan bahawa sesiapa pun yang menjadi perdana menteri dan parti apa pun yang menjadi kerajaan, Malaysia sangat perlukan “pakej kestabilan” untuk memperbaiki politik kepartian.

Sama ada Anwar yang muncul juara atau Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang kekal bertahan, perdana menteri bertanggungjawab untuk menghentikan pertukaran kerajaan yang berpunca daripada wakil rakyat yang lompat parti.

Malah pilihan raya mengejut sekali pun tidak akan mengembalikan kestabilan sekiranya Parlimen tergantung menjadi kelaziman baru dalam politik Malaysia.

Bagi mengembalikan kestabilan politik, kerajaan mesti diberi peluang untuk mentadbir dan pembangkang mesti diberi ruang untuk membuat semak dan imbang serta bersaing dengan kerajaan.

Perkara ini memerlukan pakej kestabilan yang harus mengandungi sekurang-kurangnya empat langkah segera untuk dilaksanakan dalam enam bulan berikutnya:

1. Pengenalan pilihan raya pecat wakil rakyat di peringkat persekutuan dan negeri bagi membolehkan pengundi di sesuatu kawasan memecat atau mengekalkan wakil rakyat mereka yang lompat parti. Sekiranya mereka memecat wakil rakyat tersebut maka pilihan raya kecil perlu dibuat selepas itu.

2. Reformasi Parlimen untuk memberi laluan kepada pembangkang dan ahli parlimen bangku belakang (backbenchers, yakni ahli parlimen daripada parti pemerintah tetapi tidak semestinya menyokong setiap usul kerajaan) memainkan peranan yang lebih bermakna dalam memeriksa kerajaan serta mencadangkan alternatif.

Pada masa sama ini agar mereka tidak terliur untuk menjadi menteri atau timbalan menteri dengan apa cara sekali pun.

3. Reformasi pendanaan politik yang:

Memastikan semua penggubal undang-undang mendapat peruntukan kawasan yang saksama tanpa mengambil kira kecenderungan politik atau gabungan politik.

Menyediakan dana awam kepada parti politik berdasarkan jumlah undi yang diperolehi dalam pilihan raya.

Melarang penyalahgunaan badan berkanun dan jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menarik sokongan anggota Parlimen atau sebagai habuan kepada penyokong kerajaan.

4. Menubuhkan Pejabat Pendakwaraya yang berasingan daripada Pejabat Peguam Negara untuk menamatkan pendakwaan terpilih dan imuniti daripada didakwa.

Pakej kestabilan ini juga perlu mengandungi dua langkah jangka sederhana untuk dilaksanakan sebelum berakhirnya Parlimen penggal ke-14:

1. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji bagaimana pengukuhan, pendemokrasian, dan pemprofesionalan parti politik, dengan skop yang perlu dicakupi adalah sistem pilihan raya, mekanisme pemilihan calon untuk parti-parti, dan aspek lain bagi demokrasi intra-parti.

2. RCI untuk mengkaji pensejajaran semula sistem persekutuan kita bagi memastikan janji dalam Perjanjian Malaysia ditepati serta pengagihan kuasa di antara tiga peringkat kerajaan, iaitu persekutuan, negeri/wilayah persekutuan dan daerah di Semenanjung Malaysia serta bahagian di Sabah dan Sarawak.

Pakej reformasi yang pragmatik ini pada awalnya dicadangkan oleh Bersih 2.0, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) pada 10 Jun 2020.

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, pilihan raya mengejut tidak akan menjamin kestabilan. Bersih 2.0 sekali lagi ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ancaman penularan Covid-19 adalah sangat nyata dan pilihan raya akan meningkatkan ancaman ini.

Kita juga perlu menimbang bahawa pilihan raya sebelum Julai tahun hadapan akan menafikan hak hampir lapan juta pengundi baru termasuklah empat juta pengundi muda antara 18-21 tahun. Mereka hanya dapat berada dalam senarai daftar pemilih sekiranya pendaftaran automatik dilaksanakan kelak.

Disebabkan manfaat yang sangat kabur berbanding kos yang bakal ditanggung sekiranya pilihan raya umum mengejut dibuat, Bersih 2.0 menggesa perdana menteri untuk mendapatkan persetujuan di kalangan parti-parti bagi melaksanakan pakej kestabilan di atas.

Berita penuh : https://m.malaysiakini.com/news/544150

COMMENTS

Wordpress (0)