Jemaah umrah negara ini diingatkan jangan sama sekali pakai mafela ‘Free Palestine’ sepanjang berada di sana kalau tidak mahu masuk ke ‘dalam’.
Rupanya, tindakan memakai apa sahaja berkaitan sokongan kepada Palestin adalah salah di sisi undang-undang.
Hal itu didedahkan seorang rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi yang dikenali sebagai Masnira Ramli.
Menurutnya, ini berikutan terdapat jemaah yang ditahan susulan kesalahan tersebut sekali gus menasihati jemaah umrah Malaysia supaya berhati-hati.
“Jangan pakai baju atau mafela ‘Free Palestine’ di Mekah, Madinah. Salah di sisi undang-undang.
“Dah ada jemaah yang kena tangkap terus ke ‘dalam’ sebab pakai. Hati-hati ya semua jemaah.
“Bukan negara ini tak support (sokong). Tetapi memang itu undang-undangnya. Bukan tentang isu ini sahaja, malah apa-apa isu dalam negara atau dunia pun tak boleh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Wanita berkenaan juga memberitahu, ekoran penguatkuasaan undang-undang itu juga, tiada sebarang perarakan dilihat di dua lokasi tersebut.
“Sebab itu kalian tidak pernah nampak apa-apa jenis perarakan pun di sini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau juga menasihati agensi umrah Malaysia untuk mengingatkan jemaah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Jangan komen negatif di status saya. Ini hanya mesej peringatan bersama. Para agensi pelancongan, ingatkan jemaah kalian ya.
“Kasihan jemaah yang tak tahu. Tiba-tiba hilang terus ke ‘dalam’,” tambahnya lagi.
Setakat ini, angka rasmi menunjukkan sejumlah 8,796 rakyat Palestin syahid akibat serangan tanpa henti pengganas Zionis Israel.
Ramai lagi dilapor hilang termasuk wartawan dipercayai tertimbus dalam runtuhan bangunan.