Jemaah Menteri derhaka kepada Agong

Jemaah Menteri derhaka kepada Agong

Yang Dipertuan Agong pada 24 Februari lalu bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat dikuatkuasakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, titah baginda, tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan perlaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen bersidang adalah tidak tepat.

Seterusnya, Agong bertitah, perkenan baginda terhadap proklamasi darurat hanyalah semata-mata sebagai langkah proaktif membendung penularan Covid19.

Sebelum itu, orang yang mengumumkan Parlimen digantung berikutan proklamasi darurat dikuatkuasakan adalah Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Beliau mengumumkannya sehari selepas Agong memperkenankan perisytiharan darurat yang dicadangkan kerajaan.

Dalam hal ini, ternampak Muhyiddin seperti telah memperdaya Agong berhubung cadangan darurat yang dipohonnya di mana penggantungan Parlimen seolah-olah tidak dibangkitkan langsung ketika beliau memohon perkenan daripada baginda.

Sebaliknya, perkara itu hanya ditimbulkan setelah perkenan darurat diperolehi.

Berikutan perkara itu telah menjadi bualan yang meluas di kalangan rakyat dengan rata-rata tidak setuju dengan penggantungan Parlimen ketika tempoh darurat, Agong akhirnya bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang dan baginda tidak pernah menitahkan penggantungan Parlimen itu.

Dalam maksud lain, titah Agong itu bermakna baginda sebagai ketua negara, mahu Parlimen dibuka untuk bersidang dalam tempoh darurat.

Setelah lebih seminggu membisu dan tiada mana-mana anggota kabinet, termasuk Muhyiddin sendiri memberi sebarang maklum balas terhadap titah Agong itu, semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan memaklumkan Parlimen tidak akan bersidang dalam tempoh darurat.

Beliau mengumumkan perkara tersebut selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya.

Kata Takiyuddin, sebarang keputusan untuk mengadakan sidang Parlimen mesti dibuat oleh kabinet.

“Jadi sekarang ini, jemaah menteri menasihatkan Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen.

“Itulah keadaan sekarang ini,” kata beliau lagi.

Takiyuddin turut menambah, keputusan penangguhan itu juga dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid19 di dalam bangunan Parlimen.

Ternampak di sini bahawa titah Agong bukan saja diderhakai, malah cuba dimanipulasi sekali lagi.

Jika sebelum ini Muhyiddin memperdaya Agong dengan memasukkan penggantungan Parlimen dalam proklamasi darurat, sedangkan ia bukan termasuk dalam perkenan baginda, kali ini kedudukan kabinet pula cuba dikaitkan.

Dalam titah Agong, sangat jelas baginda menyebut, sidang Parlimen boleh diadakan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Langsung tidak disebut nasihat itu perlu diberikan oleh kabinet atau jemaah menteri.

Tetapi, mengapa jemaah menteri yang tiba-tiba tampil menasihatkan Agong dan seterusnya memberi nasihat tidak ada sidang Parlimen perlu diadakan?

Kenapa tidak Perdana Menteri sendiri yang memberi nasihat kepada Agong sebagaimana dititahkan baginda?

Lagi pun, jika difahami titah Agong itu, ia bukan berkaitan baginda perlukan nasihat sama ada Parlimen boleh bersidang atau tidak, tetapi khusus berkaitan penetapan tarikh untuk Parlimen dibenarkan bersidang.

Mengapa Muhyiddin dan jemaah menteri tidak mahu faham titah Agong itu atau sengaja cuba mengelirukan rakyat?

Jika diperhalusi dalam hal ini, bukan saja Muhyiddin yang dilihat derhaka kerana telah memperdaya dan enggan patuh kepada titah Agong, malah jemaah menteri juga turut derhaka lantaran menolak keinginan baginda agar Parlimen dibuka, selain melencongkan maksud sebenar titah yang dikeluarkan pada 24 Februari lalu.

Layakkah Muhyiddin dan jemaah menteri yang derhaka ini terus dibiarkan mengurus negara?

Berita penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/03/04/bukan-saja-muhyiddin-jemaah-menteri-turut-dikira-derhaka-kepada-agong.html