Jatuh dalam periuk sup mendidih, chef maut

Seorang cef meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam sebuah periuk besar berisi sup yang mendidih ketika menyediakan makanan untuk sebuah majlis perkahwinan di Iraq, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Cef Issa Ismail, 25, ketika kejadian, dilaporkan sedang mengacau sup dalam sebuah periuk besar bagi menyediakan hidangan kepada tetamu majlis perkahwinan tersebut.

Dia kemudiannya dikatakan tergelincir lalu terjatuh ke dalam periuk tersebut yang mengakibatkannya mangsa melecur teruk di sebahagian besar badannya.

Cef itu dikejarkan ke hospital Dohuk yang terletak kira-kira 64 kilometer dari lokasi kejadian untuk menerima rawatan.

Pasukan perubatan mencuba sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawanya. Dia dirawat beberapa hari sebelum disahkan meninggal dunia akibat melecur tahap tiga meliputi kira-kira 70 peratus badannya.

Menurut laporan akhbar Gulf News, periuk yang digunakan untuk memasak sup itu cukup besar untuk memuatkan seorang lelaki di dalamnya.

Sementara itu, salah seorang saudaranya, Zervan Hosni berkata, Issa telah berkhidmat sebagai cef selama lapan tahun.

“Dia sering memasak di majlis-majlis perkahwinan, majlis berkabung dan beberapa acara lain. Selama dua tahun ini, dia memasak di dewan acara itu dengan gaji sebanyak 25,000 dinar sehari (RM71.30),” ujarnya.

Issa meninggalkan seorang balu dengan dua anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia enam bulan.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/03/cef-maut-jatuh-dalam-periuk-sup-mendidih/

BACA JUGA : Kenapa kamu letak akaun bank ketika minta derma, tidak tadah tangan saja berdoa?

CATEGORIES