JASA dihidupkan semula dengan 500 kakitangan

Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dibubarkan Pakatan Harapan (PH), akan kembali beroperasi dalam tempoh terdekat ini dengan 500 kakitangan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata langkah itu bertujuan membantu bekas kakitangan badan kerajaan terbabit yang terjejas pendapatan selepas perkhidmatan mereka ditamatkan kerajaan terdahulu.

“Bagi tujuan itu, kita sudah melantik Timbalan Ketua Pengarah, selain membuka permohonan dan melakukan proses temu duga bagi mengambil mereka bekerja semula.

“Ada juga usaha supaya bekas kakitangan Biro Tata Negara dan Seranta FELDA boleh sama memohon,” katanya kepada media selepas melawat Pusat Kawalan 5G di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira setengah jam mendengar taklimat berkaitan Projek Demonstrasi 5G di Langkawi, yang dilanjutkan sehingga 31 Disember ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Romani Wan Salim.

Zahidi berkata, kementerian juga akan mengusulkan kepada kerajaan untuk memohon tambahan bajet bagi membolehkan lebih ramai bekas kakitangan JASA diambil bekerja semula.

“Dulu JASA ada lebih 1,000 kakitangan dan untuk penubuhan semula hanya dibenarkan mengambil 500 kakitangan, jadi separuh daripadanya tidak dapat ditawarkan kerja semula.

“Ramai mahu kerja semula dan ternyata langkah kerajaan Pakatan Harapan membuang kakitangan JASA yang terdahulu adalah silap dan menganiaya pelbagai pihak,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/07/714747/jasa-dihidupkan-semula